5 Jun 2021

, ,

Helpdesk MySejahtera bantu pengguna jawab masalah vaksinasi

Fungsi Helpdesk MySejahtera

 

Pengguna aplikasi MySejahtera kini boleh mendapatkan jawapan berkenaan janji temu vaksinasi melalui Helpdesk.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) berkata, ciri Helpdesk itu menjadi tambahan kepada pautan sedia ada.

Kemudahan itu membolehkan pengguna mendapatkan bantuan bagi 12 kriteria pertanyaan termasuk yang lain-lain.

"Ia merangkumi pertanyaan janji temu vaksinasi, individu 60 tahun ke atas tetapi belum menerima janji temu (Fasa 2) dan mengenai halaman profil 'muat turun' yang tidak memaparkan masa serta tarikh baharu.

"Helpdesk itu juga memberi panduan kepada pengguna yang mahu mengemas kini nama, nombor kad pengenalan atau pasport, ID pengguna atau mahu memadamkan akaun MySejahtera mereka," katanya dalam hantaran Twitter, hari ini.

Fungsi Helpdesk itu boleh membantu pengguna mendapatkan maklumat status penilaian yang belum dikemas kini selepas mereka tamat tempoh kuarantin, janji temu Fasa 2 vaksinasi serta lain-lain pertanyaan.

JKJAV juga turut memberikan tutorial visual di akaun Twitternya menggunakan pilihan itu.

Sebagai contoh, bagi bantuan pertanyaan 'Janji Temu Vaksinasi', pengguna akan diberikan tiga pilihan kemungkinan senario iaitu mereka belum menerima tarikh walaupun mendapat paparan 'Terima Kasih' selepas menghantar tempahan slot janji temu untuk pendaftaran AstraZeneca.

Selain itu, ia turut memperincikan cara membatalkan janji temu AstraZeneca dan pertanyaan bagi pengguna yang sudah mengesahkan temu janji tetapi mahu menukarkan kepada tarikh lain.

Pada pilihan itu, perubahan temu janji adalah selain AstraZeneca, yang antaranya memaparkan pengguna tidak sihat, menukar fikiran tidak mahu divaksin, masalah pengangkutan serta lain-lain.

Minggu lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, ciri baharu akan ditambahkan di MySejahtera.

Ia bagi membolehkan pengguna mendapat bantuan mengenai janji temu mereka dan menerima maklum balas serta penyelesaian segera.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90