6 Jun 2021

, , , ,

Henti guna produk PS 21 Capsule

bahagian regulators farmasi negara

 

 

Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional jenama PS 21 Capsule kerana dikesan mengandungi racun berjadual simvastatin yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pendaftaran produk itu dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berikutan pengesanan racun berjadual berkenaan, yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

"Simvastatin ialah sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

"Pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

"Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Mereka yang sedang menggunakan produk itu juga dinasihat menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan 'advers'.

Orang awam juga digalakkan menyemak status pendaftaran bagi sesuatu produk dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90