22 Jun 2021

,

Kakitangan masam muka tidak dibenar masuk ke pejabat

 

Pekerja syarikat pengimejan dan optik Canon di China dilaporkan hanya dibenarkan masuk ke pejabat tersebut jika mereka senyum dan bersikap positif, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Sebelum masuk ke pejabat, wajah pekerja akan dirakam terlebih dahulu dengan menggunakan kamera dilengkapi program kepintaran buatan (AI) yang boleh  mengesan senyuman.

Pekerja yang mahu menempah bilik mesyuarat juga perlu senyum ke arah kamera AI yang dipasang sebelum dibenarkan menggunakan bilik tersebut.

Sistem tersebut dipasang tahun lalu di pejabat Canon Beijing oleh Canon Information Technology yang merupakan anak syarikat Canon  berpangkalan di Jepun, bertujuan untuk mewujudkan  suasana positif ketika bekerja.

Namun, pekerja-pekerja  syarikat itu berkata,  sistem tersebut telah memanipulasi emosi mereka kerana terpaksa senyum setiap kali masuk ke pejabat atau pun mahu menempah bilik.

“Syarikat bukan sahaja memanipulasi masa kerja kami, namun mereka juga memanipulasi emosi kami,” kata seorang pekerja menerusi aplikasi sosial tempatan, Weibo.

Jurucakap Canon China bagaimanapun berkata, sistem kamera AI itu akan mewujudkan suasana bekerja yang lebih positif.

“Kami mahu menggalakkan pekerja untuk mewujudkan suasana ceria dengan menggunakan sistem pengesan senyuman.

“Biasanya, orang ramai hanya segan untuk senyum, namun jika mereka sering senyum di dalam pejabat, mereka akan boleh mengekalkannya tanpa bantuan sistem tersebut, seterusnya mewujudkan suasana lebih positif dan ceria,” katanya.

China berhasrat menjadi pelopor dalam pengembangan kecerdasan buatan pada 2030 dan memenangi lebih banyak paten AI berbanding institusi di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, syarikat gergasi Amazon dari AS turut menggunakan sistem algoritma untuk menentukan produktiviti pekerja dan akan memecat pekerjanya yang berada di bawah skala penentuan. 

Sumber : Agensi

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90