24 Jun 2021

, ,

MARA longgar syarat S3P, DanaNITA

 

Majlis Amanah Rakyat (MARA) melonggarkan syarat Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DanaNITA, selain menambah baik skim bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata langkah berkenaan dilaksanakan bagi membantu perniagaan usahawan kekal dan memastikan peluang pekerjaan diwujudkan apabila perniagaan terus beroperasi.

Katanya, S3P dilancarkan pada 7 April lalu memberi fokus untuk membantu usahawan Bumiputera yang terkesan akibat krisis pandemik yang mana pembiayaan diberikan untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana Mikro Bumiputera yang memerlukan sokongan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan dan kekal berdaya tahan.

"Bantuan DanaNITA pula adalah skim pembiayaan khusus untuk wanita, diperkenalkan empat tahun lalu dan akan diteruskan dengan beberapa syarat yang dipermudahkan.

"Jumlah had pembiayaan dinaikkan untuk memastikan lebih ramai usahawan wanita dapat terus dibantu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui kelonggaran syarat itu, MARA menyasarkan membantu 1,000 usahawan yang terjejas dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk skim S3P, manakala 200 orang usahawan wanita disasarkan melalui skim DanaNITA dengan peruntukan kewangan RM10 juta.

Melalui pembiayaan perniagaan S3P, usahawan boleh mendapatkan kemudahan sama ada bagi menampung modal pusingan perniagaan, pembelian peralatan, perbelanjaan bagi tujuan promosi dan pemasaran serta kos pengurusan syarikat.

Pembiayaan yang diberikan adalah patuh syariah dengan had maksimum pembiayaan adalah sebanyak RM50,000 dan tiada syarat sebarang cagaran atau jaminan.

Bagi Skim Pembiayaan DanaNITA, MARA mengambil inisiatif menambah baik skim ini dengan menaikkan had maksimum pembiayaan sehingga RM150,000 berbanding sebelum ini, hanya RM50,000.

Bagi usahawan yang membuat pembiayaan bawah RM50,000, ia tidak memerlukan penjamin atau cagaran.

Azizah menjelaskan, sebagai usaha untuk memudahkan lagi usahawan yang disasarkan untuk akses kepada S3P dan DanaNITA, beberapa syarat dilonggarkan iaitu perniagaan hanya cukup berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak mensyaratkan perlu beroperasi lebih enam bulan.

Katanya, tempoh bertenang juga dilanjutkan dari enam bulan kepada 12 bulan serta dikecualikan syarat daripada mempunyai lesen perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kelonggaran dokumen berkaitan permohonan seperti sebutharga ubahsuai, pembelian mesin dan alatan turut dikecualikan manakala penyata akaun bank hanya diperlukan untuk tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

"Melalui pendekatan ini, lebih ramai usahawan wanita dapat diberikan akses bukan sekadar untuk mereka bertahan ketika pandemik ini, malah kita juga memberikan tawaran pakej pembiayaan yang lebih baik supaya perniagaan mereka akan terus berkembang.

"Melalui pendekatan ini, ia bukan sekadar untuk memastikan perniagaan usahawan terus berdaya tahan, tetapi pada masa sama akan kembali merancakkan aktiviti perniagaan di peringkat Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.

Sementara itu, MARA juga prihatin dengan kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera supaya terus kekal berdaya tahan, terutama dalam tempoh yang semakin mencabar.

Sebelum ini, katanya MARA memperkenalkan Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) pada tahun lalu juga bagi membantu usahawan yang terjejas ketika PKP 1.0 di samping beberapa bantuan lain, termasuk diskaun penyewaan premis MARA dan moratorium pembiayaan perniagaan serta inisiatif menaik taraf kemudahan premis perniagaan MARA di seluruh negara.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90