20 Jun 2021

, ,

Pengambilan Khas Guru KPM seramai 18,000 orang

Pengambilan Khas Guru 2021

 


Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.

Katanya, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ketika ini KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

"KPM memerlukan untuk mata pelajaran tertentu tetapi bekalan tidak banyak.

 

"Wujud keadaan apabila agak sukar untuk KPM mengambil guru baharu bagi memenuhi kekosongan yang ada," katanya pada Sidang Media Khas, yang dijalankan secara maya, pagi ini.

Radzi berkata, antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata, di sekolah menengah, antara mata pelajaran yang menunjukkan kekurangan guru adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Katanya, pengambilan khas guru itu adalah satu usaha bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) selepas ketiga-tiga pihak meneliti serta mengenal pasti kekangan dan pendekatan yang boleh diambil bagi merapatkan jurang kekurangan guru sedia ada bagi memastikan ia tidak berlaku lagi di masa depan.

Susulan itu, JPA sudah memberi kelulusan khas untuk pengisian jawatan guru, yang kemudian membolehkan KPM mendapat persetujuan SPP dalam proses lantikan guru.

Radzi berkata, pihaknya menyedari, isu kekurangan guru itu tidak akan dapat diselesaikan jika kementerian masih melihat dan menggunakan pendekatan lama.

"Melalui pendekatan baharu ini kita dapati antara punca bekalan itu terhad apabila guru dengan opsyen tertentu hanya boleh mengajar mata pelajaran tertentu saja.

"Dalam konteks lain, guru ini juga boleh mengajar mata pelajaran berbeza atau hampir dengan ruang lingkup sama. Justeru apabila kita membuat kajian mendalam kita dapati, terdapat keperluan untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran," katanya.

Beliau berkata, melalui kluster opsyen mata pelajaran, bakal guru yang akan diambil dalam pengambilan khas itu akan disusun mengikut kelayakan dan kelulusan mereka mengikut kluster tertentu bagi membolehkan ruang atau kelompok tertentu sumber bekalan itu lebih luas.

Katanya, ia bagi membolehkan pemilihan calon berkelayakan bagi opsyen mata pelajaran yang memerlukan pengisian.

Selain itu, beliau berkata, KPM akan mengadakan kepelbagaian kaedah pelantikan berbanding sebelum ini yang hanya memberikan tumpuan kepada kaedah tertentu saja.

Biarpun, pengambilan khas itu akan memberi tumpuan kepada calon yang mempunyai iktisas pendidikan, Radzi berkata ia tidak akan terhenti di situ saja, sebaliknya KPM akan melihat pengambilan secara menyeluruh dengan mengambil kira latar belakang pendidikan calon yang bersesuaian dengan kekosongan guru mengikut mata pelajaran.

"Ia adalah 'one off' dan mengambil kira kekurangan yang kritikal. Jika tiada graduan pendidikan yang boleh memenuhinya maka kaedah bersesuaian akan diambil dan diteliti oleh SPP," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90