23 Jun 2021

,

Pengesahan S&P bukti kewangan negara kukuh - Tengku Zafrul

 

S&P Global Ratings (S&P) mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada 'A-' dan 'A' dengan tinjauan negatif.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengesahan itu membuktikan kedudukan luaran negara yang kukuh, fleksibiliti dasar monetari, rekod menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan ketahanan ekonomi pada masa yang tidak menentu yang diiktiraf.

Beliau berkata, ia menunjukkan keyakinan S&P terhadap Malaysia di tengah-tengah tekanan penilaian kredit yang belum pernah terjadi sebelumnya di peringkat global, yang mana kira-kira 20 peratus daripada semua penarafan hutang dengan prospek negatif pada akhir 2020 telah diturunkan oleh tiga agensi penarafan kredit utama setakat ini.

Katanya, hampir 18 bulan berlakunya pandemik COVID-19, prospek pertumbuhan global tetap tidak menentu dengan varian COVID-19 baharu telah menyebabkan peningkatan semula kes dan pelaksanaan semula langkah membendung dan penangguhan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial oleh kerajaan di seluruh dunia. 

"Rantau Asia, khususnya, telah menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan jumlah kes jangkitan dan jumlah kematian yang lebih tinggi, diburukkan lagi ketidaksamaan vaksin, yang mana akses kepada vaksin dikuasai oleh ekonomi maju.

"Oleh itu, pemulihan pertumbuhan dijangka berbeza di seluruh negara dan sektor, mencerminkan variasi dalam cabaran yang berkaitan dengan pandemik dan juga tahap sokongan fiskal," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam menangani cabaran, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (NRP) merangkumi empat fasa yang akan membolehkan negara keluar dari pandemik COVID-19.

Beliau berkata, berpandukan paras ambang berdasarkan purata kes baharu COVID-19 harian, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan penduduk yang divaksin sepenuhnya, NRP akan membolehkan penduduk, perniagaan dan pelabur untuk merancang dengan sewajarnya ketika Malaysia bergerak dari satu fasa ke fasa yang lain.

Katanya, keadaan itu akan memberikan kepastian dan kejelasan terutama dari segi membuka semula sektor ekonomi dan sosial sebaik saja paras ambang itu dicapai.

"S&P telah menekankan bahawa sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1 Jun 2021, kes telah stabil sejak dua minggu sebelumnya, dan pemulihan ekonomi Malaysia akan beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, berdasarkan pendekatan pembukaan semula secara berhati-hati oleh kerajaan.

"Setakat ini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian dari paras tertinggi 8,000 kepada sekitar 5,000 sehari, sambil mengekalkan nisbah kes kematian kurang dari 0.6 peratus dan disokong oleh kadar pemulihan lebih 85 peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata, dalam memperkukuhkan prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM380 bilion sejak pandemik melanda, dan belanjawan tahunan bernilai RM322.5 bilion untuk 2021.

Beliau berkata, daripada langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan, sekurang-kurangnya RM300 bilion masih berterusan, dan dijangka menyokong pemulihan ekonomi, terutama pada fasa NRP yang berlainan.

"Setakat ini, pemantauan ketat oleh Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (​LAKSANA) Kementerian Kewangan menunjukkan RM200 bilion telah disalurkan daripada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan yang memanfaatkan lebih 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.

"Dalam jangka masa sederhana, kerajaan tetap teguh dalam meneruskan pembaharuan struktur yang berterusan untuk meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi. Ini merangkumi pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji lebih baik," katanya.

Walaupun terdapat risiko pertumbuhan yang lebih tinggi disebabkan oleh langkah membendung pandemik baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, kesan kecil terhadap ekonomi dijangkakan berkurangan kerana Malaysia bergerak melalui setiap fasa NRP, terutamanya dengan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka semula, dan pelbagai sektor telah menyesuaikan diri dengan baik untuk beroperasi dari jarak jauh menerusi teknologi digital.

Justeru, beliau berkata, kesan keseluruhan terhadap ekonomi dijangka kurang teruk berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilaksanakan pada Mac 2020.

Melangkah ke hadapan, katanya, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang semakin meningkat, dan paras ambang NRP dipenuhi untuk pembukaan semula yang lebih meluas aktiviti ekonomi dan sosial.

"Setakat ini, Malaysia telah memberi secara purata 160,000 dos setiap hari, yang mana dijangkakan meningkat kepada 400,000 dos setiap hari pada Ogos 2021.

"Pada kadar ini, 60 peratus penduduk dijangka mendapat vaksin sepenuhnya pada akhir Oktober tahun ini. Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luaran dari rakan dagang utama, bersama dengan ekonomi yang pelbagai dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi," katanya.

Tengku Zafrul juga menjelaskan S&P juga mengakui bahawa sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang matang berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada lonjakan permintaan global dan kitaran meningkat teknologi global, menyokong eksport untuk satu hingga dua tahun akan datang.

Beliau berkata, dasar kerajaan dalam mendorong digitalisasi dan penggunaan teknologi juga dijangka meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Selain itu, katanya, Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 - 2025) akan menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan yang mampan, bertujuan memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi, dan kelestarian alam sekitar.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90