26 Jun 2021

Penipu jual beli online dicekup

 

Seramai 10 individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan jual beli secara online.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, serbuan dibuat di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan.

“Enam lelaki dan empat wanita berusia 21 hingga 52 tahun ditahan yang mana empat daripada mereka merupakan pemilik akaun manakala bakinya adalah pemilik alamat IP yang digunakan untuk menipu mangsa.

“Pasukan serbuan turut merampas telefon bimbit, komputer riba, kad kredit, modem dan passport Bangladesh,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan mendapati suspek mengiklankan barangan seperti tablet, telefon pintar dan konsol permainan PS4 menerusi platform e-dagang.

Pembeli yang berminat kemudiannya akan dihubungi namun barangan yang dijanjikan tidak diterima selepas pembayaran dibuat.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Mac lalu dengan anggaran kerugian RM50,000. Kita percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin turut memaklumankan terdapat peningkatan ketara dalam kes penipuan melibatkan penjualan barangan secara online.

“Pada tahun 2019 sejumlah 3,516 kes telah dicatatkan dan jumlah itu meningkat sebanyak 66 peratus kepada 5,845 kes pada 2020 manakala sehingga 20 Jun lepas, sebanyak 4,364 kes telah dicatatkan.

Sumber : Kosmo!

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90