22 Jun 2021

, , , , , ,

Pilih calon guru berkualiti didik generasi baharu negara

Permohonan Guru


Oleh Prof Madya Dr Ridzwan Che’ Rus

Pensyarah Kanan di Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai peluang penempatan guru melalui pengambilan khas secara one-off seramai 18,702 orang wajar disokong semua.

Graduan pendidikan universiti awam (UA) sebenarnya ditapis masuk menggunakan Inventori Pemilihan Pendidikan Malaysia (MEdSI) yang mengukur minat dan kerjaya perguruan kepada calon program Pendidikan.

Calon program Pendidikan ini kemudian ditemu duga untuk menjadi calon Program Ijazah Pendidikan UA.

Maka ia bertepatan dengan saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menggesa KPM untuk mengambil calon guru KPM hanya mempunyai kualiti dan minat terhadap profesion mulia ini. 

Graduan Ijazah Pendidikan UA ini melalui dan dilatih berdasarkan Objektif Pendidikan Program, Hasil Pembelajaran Program dan Hasil Pembelajaran Kursus berdasarkan Standard Pendidikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selama empat tahun.

Kemudian mereka melalui 30 kredit kursus Profesional Pendidikan; Kursus Umum Universiti (21); kursus major program (58-62); kursus minor (21); kursus elektif bebas (9) dan Latihan Mengajar merangkumi Program Perantis Guru dan Latihan Mengajar (10).

Walaupun terdapat sedikit perbezaan kurikulum antara UA awam, semua graduan pendidikan ini mempunyai minat, pengetahuan, kemahiran dan sikap profesionalisme sebagai pendidik selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Bagaimanapun, perubahan kurikulum KPM khususnya apabila Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) diperkenalkan pada 2017 menyebabkan wujud sedikit jurang program pendidikan di UA dan keperluan mata pelajaran di sekolah.

Ia bertujuan melahirkan murid mempunyai aspirasi sesuai dengan kemahiran abad ke-21 yang menekankan kemahiran berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, komunikasi dan pelbagai kemahiran untuk menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Justeru, pemadanan mata pelajaran di KPM sewajarnya dibincangkan dengan teliti bersama UA untuk manfaat bersama. Jika diambil kira kos melatih graduan bukan pendidikan untuk Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI), negara sebenarnya terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk melatih semula graduan berkaitan.

Alangkah baik kalau kos itu dimanfaatkan melalui pemberian biasiswa guru, penambahbaikan peralatan, peningkatan teknologi kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan UA menawarkan program pendidikan.

Graduan pendidikan UA sebenarnya menguasai segala aspek Pembelajaran Abad Ke-21, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), KSSM dan semua elemen dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terkini.

Dengan semua pengetahuan, kemahiran dan sikap diperlukan sebagai pendidik, mereka juga mempunyai kompetensi teknologi, pedagogi, pengetahuan dan isi kandungan berkaitan mata pelajaran mereka di sekolah membabitkan major serta minor.

Norma perjawatan guru di sekolah menyebabkan ada guru opsyen tertentu, walaupun diambil mengikut opsyen, mereka tidak diberikan mata pelajaran major atau minor mereka apabila diberi penempatan.

Ini satu kerugian besar kepada kepakaran mereka walaupun masih berada pada tahap novis, iaitu guru masih baharu.

Walaupun kita diuji dengan pandemik COVID-19 dan IR4.0 memerlukan pengalaman industri bagi melahirkan murid mempunyai aspirasi dihasratkan dalam PPPM, kemahiran pembelajaran sepanjang hayat graduan pendidikan UA dipercayai mampu terus ditingkatkan khususnya berkaitan praktik di industri.

Isu berkaitan pengalaman industri dibangkitkan sesetengah pihak boleh diatasi dengan mewajibkan guru setiap tiga tahun untuk diletakkan di industri bagi memastikan mereka berkongsi kemahiran dan pengalaman terkini industri dengan murid mereka khususnya subjek berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (​TVET).

Dengan kebijaksanaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, bakat terbaik mempunyai kualiti dan minat tinggi sahaja dapat dipastikan menjadi pendidik kepada generasi baharu Malaysia.

Dengan segala kompetensi yang ada pada graduan pendidikan di negara ini, sesungguhnya akan membantu dalam membentuk generasi baharu yang bangkit semula menjadi Harimau Asia. Dengan itu, sistem pendidikan di negara ini, akan terus cemerlang membina negara tercinta ini.

- Berita Harian

 

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90