11 Jun 2021

, ,

PKP 3.0 disambung hingga 28 Jun 2021

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, supaya PKP 3.0 disambung.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu hingga semalam ialah 6,871.

"Senarai positif, negatif dan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan 

"Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokasi di Sabah dan Kedah.

Di Kedah, PKPD akan dilaksanakan di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, selepas mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 208 penghuni universiti itu dalam tempoh seminggu.

KKM juga mengesan berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampus UUM, berkuat kuasa 13 Jun hingga 26 Jun 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin," katanya.

PKPD turut akan dilaksanakan di Kampung Kadazan, Tawau; dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah.

KKM melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu di Kampung Kadazan, apabila senanyak 14 kes positif COVID-19 dilaporkan hasil daripada 45 ujian saringan dengan kadar positiviti 31.11 peratus.

Di Kota Kinabalu, pelaksanaan PKPD akan dibuat di Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai selepas berlaku peningkatan ketara apabila sebanyak 15 kes dikesan hasil daripada 20 ujian saringan di kedua-dua perkampungan ini.

Turut berlaku peningkatan kes adalah di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang yang merekodkan lapan kes positif dalam tempoh seminggu.

Semua pelaksanaan PKPD di tiga lokasi di Sabah ini akan dibuat bermula 13 Jun hingga 26 Jun 2021. 

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90