5 Jun 2021

, , , ,

Sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana dapat potongan cukai

Nombor akaun Amanah Bencana

 

Individu dan syarikat korporat yang menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana layak mendapat potongan cukai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, potongan cukai itu diberikan dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi kerajaan (Kew. 38) atau dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran sistem perbankan rasmi.

"Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah Kerajaan," menurut kenyataan itu.

Akaun itu ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana, mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun bagi membolehkan ia disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Pada 1 Jun lalu pula Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama tiga bulan dilaksanakan mulai Jun bagi tujuan sama.

MOF juga menyatakan sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela bagi disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana.

Kementerian itu juga menyatakan pihak awam dan sektor swasta boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana itu.

Sumbangan boleh dibuat ke dalam Akaun Amanah Bencana melalui akaun Maybank Islamic Berhad dengan nombor 5660 1065 0930

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90