7 Jun 2021

, , ,

Tiada bukti UFO pesawat makhluk asing – Pentagon

 

 
 
Pegawai-pegawai agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) tidak dapat menjelaskan tentang penampakan misteri yang dikesan baru-baru ini, namun menurut laporan Pentagon, tiada bukti menunjukkan objek yang dilihat adalah kapal angkasa makhluk asing, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Mereka berkata, majoriti daripada 120 kes penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) itu oleh tentera laut sepanjang tempoh satu dekad lalu disahkan bukan pesawat tentera atau memiliki teknologi AS.

Penemuan tersebut yang dibentangkan kepada Kongres pada bulan ini, turut menafikan UFO yang dilihat adalah pesawat rahsia milik kerajaan AS.

Pegawai-pegawai agensi pe­risikan tersebut bagaimanapun tidak menolak kemungkinan UFO yang dikesan adalah pesawat milik negara seteru seperti Rusia atau China. Ia susulan kebimbangan bahawa Moscow mungkin sedang melakukan eksperimen teknologi pesawat hipersonik.

Anggota Kongres, Senator Marco Rubio berkata, laporan kerajaan seharusnya menjadi permulaan kepada usaha AS untuk mengesan dan mengenal pasti objek misteri yang berterbangan itu.

“Lelaki dan perempuan yang telah ditugaskan untuk menjaga pertahanan negara telah melihat pesawat tidak dikenal pasti yang memiliki keupayaan hebat.

“Kita tidak boleh membiar­kan stigma terhadap UFO meng­halang kita daripada menyiasat perkara ini,” katanya.

Seorang pegawai kanan pe­risikan yang memaklumkan tentang penemuan itu berkata, memandangkan laporan tersebut tidak konklusif, kerajaan AS tidak boleh menyingkirkan teori bahawa UFO tersebut adalah pesawat makhluk asing.

Bekas Presiden AS, Barack Obama menerusi satu wawancara dalam rancangan bual bi­cara Late Show With James Cor­den pada bulan lalu membe­ritahu bahawa terdapat rakaman objek di langit yang tidak dapat dikenal pasti.

Obama juga berkata, satu kepercayaan baharu akan muncul sekiranya kewujudan makhluk asing dapat disahkan.

Sebilangan besar daripada 120 insiden penampakan UFO tersebut dilaporkan oleh anggota tentera laut AS.

Ketua Angkatan Laut AS yang telah bersara, Sean Cahil baru-baru ini memberi amaran bahawa UFO mungkin mempunyai teknologi yang tidak dapat ditandingi oleh AS. – Agensi

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90