19 Julai 2021

Azizulhasni terima gelaran Dato'

Dato' Azizulhasni Awang

 

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu hari ini yang membawa gelaran Dato'.

Menerusi kenyatan ringkas pada akaun Facebook miliknya, Menteri Belia dan Sukan itu turut berharap anugerah berkenaan dapat menjadi motivasi tambahan buat Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo.

"Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Dato' Mohd Azizulhasni Awang, pelumba trek berbasikal negara di atas penganugerahan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (DPMT) yang membawa gelaran Dato'.

"Semoga penganugerahan ini menjadi pemangkin semangat untuk terus membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi di Olimpik #Tokyo2020 ini," katanya.

Terdahulu, pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun itu mengakui anugerah itu di luar jangkaannya selain tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan gelaran itu.

Namun Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman dan bakal berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal.

"Pertamanya, rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90