11 Julai 2021

,

Benjy meninggal dunia

 

Pelakon, Allahyarham Benjy, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, Indonesia, jam 11 pagi tadi.

Berita pemergian Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim tular di kalangan rakan artis dan ia dipercayai daripada makluman bapanya, Khairil Anwar Zainal Muktar Rashidi.

Anak sulung primadona filem Melayu, Allahyarham Azean Irdawaty itu dipercayai sudah lama menghidap penyakit asma yang kronik. Perkara itu disahkan adik bongsu arwah, Inessa Irdayanty.

Inessa berkata, keluarga menerima panggilan pihak penjara memaklumkan arwah sukar bernafas dan terpaksa dibawa ke hospital, namun tidak berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, katanya, keluarga sepakat mengizinkan arwah dikebumikan di Medan sebagai memenuhi permintaan arwah yang pernah beberapa kali menyebut supaya jenazahnya tidak dibawa pulang sekiranya ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir di penjara. Jenazah arwah dijangka akan dikebumikan, esok.

"Saya dan keluarga tahu arwah sakit. Sejujurnya, arwah sudah lama menghidap penyakit asma kronik sebelum ditahan di Medan. Sebelum ini, arwah sering membuat rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh.

"Sebelum COVID-19, arwah sudah berpesan sekiranya berlaku sesuatu kepadanya tidak perlu membawa balik jenazahnya. Pintanya, sedekahkan surah al-Fatihah.

"Jadi, ini menyebabkan kami sekeluarga menyerahkan urusan pengebumian di Medan," katanya.

Allahyarham Benjy kini sedang menjalani hukuman selama 11 tahun, tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan atas kesalahan memiliki dadah.

Pada April 2017, arwah Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Arwah Benjy disyaki memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian dubur.

Pada 2018, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pernah mengunjungi arwah di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

Namun, keadaan kesihatan aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu sudah terganggu akibat penyakit asma kritikal dan batuk tanpa henti.

Keadaan arwah masih sama ketika Setiausaha Agong SENIMAN, Hafiz Nafiah berkunjung setahun kemudian, malah penyakitnya dilaporkan semakin teruk.

Sementara itu, Hafiz berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan pengebumian pelakon drama Kerana Cintaku Saerah itu.

"Keluarga mahu jenazah arwah diuruskan dan dikebumikan di Medan atas permintaan arwah. Lagipun, kos membawa pulang jenazah menelan belanja yang besar," katanya.

Allahyarham Benjy pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90