17 Julai 2021

, ,

Imuniti kelompok, pematuhan SOP jalan keluar pandemik

imuniti kelompok covid-19

 

Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Cabaran pandemik COVID-19 dengan kemunculan pelbagai varian baharu seperti varian Delta, memberikan impak lebih serius kerana merebak lebih cepat, selain berisiko melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam dan mampu memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan perkembangan penularan COVID-19 membimbangkan dengan Afrika mencatatkan 16.7 peratus dan Asia Tenggara (8.6 peratus), manakala Eropah merekodkan 33 peratus meskipun mengungguli program vaksinasi global.

Malaysia turut menunjukkan trend sama dengan kes harian dan kematian menunjukkan peningkatan walaupun sekatan pergerakan penuh dijalankan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

WHO menyifatkan peningkatan jangkitan sebagai trend global ketika ini disebabkan peningkatan pergerakan sosial, selain pengedaran vaksin tidak adil. Justeru, program vaksinasi mesti dipercepat bagi mencapai imunisasi kelompok pada kadar segera, selain keberkesanan kandungan vaksin dipertingkatkan bagi mendepani pelbagai varian baharu.

Bagaimanapun, berlaku penurunan mendadak dalam kadar kematian harian di negara yang program vaksinasinya berjaya. Kanada dengan jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, mencatatkan lebih 26,000 kematian sejak pandemik ini bermula, iaitu empat kali melebihi jumlah kematian di negara ini.

Namun dengan hampir separuh rakyatnya diberi vaksin, jumlah kematian berkurang secara drastik menjadi kurang 10 penduduk sehari. Ini membuktikan imuniti kelompok mampu mengurangkan kadar jangkitan dan kematian akibat pandemik COVID-19.

Justeru Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyasarkan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas Jun. Ia diikuti pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan fokus ketiga adalah mempercepatkan program vaksinasi kepada sebanyak mungkin populasi di negara ini.

Kerajaan juga mengkaji pemberian vaksin kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun. Semua usaha ini untuk mencapai imuniti kelompok pada kadar segera, sekali gus membawa rakyat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik.

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadual menerima menerima sekurang-kurangnya 13.8 juta dos vaksin sepanjang Julai ini. Semua jenis vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac selamat serta berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian COVID-19 Delta.

Ini menunjukkan COVID-19 boleh dikawal sekiranya kadar vaksinasi terus dipertingkatkan dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan, kawasan berisiko dan beberapa sektor dibenarkan operasi semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN.

Berdasarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, senarai keutamaan adalah melindungi kumpulan paling berisiko, iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan dan kesihatan. Ia disusuli warga emas serta individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok.

Terkini, hampir semua petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin, malah lebih 50 peratus golongan berusia 60 tahun ke atas menerima dos pertama. Sehingga 11 Julai, kadar vaksinasi harian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melepasi kadar purata vaksinasi global, memberi gambaran Malaysia berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok.

Dengan penambahbaikan dan peningkatan keupayaan proses suntikan antara 300,000 hingga 400,000 dos sehari, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan 70 hingga 80 peratus populasi Malaysia divaksin sepenuhnya sekitar September atau awal Oktober depan.

Walaupun Selangor masih jauh ketinggalan dari segi peratusan vaksinasi disebabkan jumlah dan kepadatan penduduk tinggi, usaha dipergiatkan bagi meningkatkan peratusan penerimaan. Dengan penerimaan empat juta dos vaksin untuk Selangor pada bulan ini, kadar vaksinasi dapat dipercepat.

Data Our World in Data dikelolakan Oxford Martin School, Universiti Oxford dan GCDL menunjukkan, setakat 9 Julai lalu, Singapura di tangga pertama dengan purata harian vaksinasi 1.3 bagi setiap 100 orang, diikuti Malaysia (0.96); Taiwan (0.65); United Kingdom (0.38); Thailand (0.36); Indonesia (0.31); Korea Selatan (0.2); Amerika Syarikat (0.18) dan Vietnam (0.02).

Malah, Malaysia konsisten di tempat kedua dan mengatasi United Kingdom sejak 23 Jun lalu. Data Our World in Data juga menunjukkan Malaysia merekodkan purata pemberian vaksin harian ketiga tertinggi pada 9 Julai lalu dengan 309.694 dos, selepas Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kadar pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini turut melepasi purata negara di Asia mengatasi Thailand, Filipina dan Vietnam.

Setakat semalam, negara mencatatkan lebih 12.3 peratus penduduk mendapat vaksinasi penuh dan lebih 26.5 peratus memperoleh sekurang-kurangnya satu dos. Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama ialah 8.6 juta dan dos kedua (4 juta) dengan lima negeri paling terkesan mencatatkan pemberian vaksin tertinggi. Sejumlah 15,366 komuniti Orang Asli juga menerima suntikan vaksin, manakala selebihnya akan menerima berperingkat dalam masa terdekat.

Perkembangan positif ini disifatkan pencapaian baik dan landasan tepat untuk mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat dan membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Ini menunjukkan antara jalan keluar terbaik memenangi pertarungan ini adalah dengan mencapai tahap 80 peratus imuniti kelompok dijangka dicapai sebelum akhir tahun ini. Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan, parti politik, penggerak ekonomi seperti industri dan perniagaan serta masyarakat seluruhnya perlu berganding bahu menyokong PICK yang dilihat berada di landasan terbaik.

Kaedah lain adalah melaksanakan kawalan ketat dalam tempoh dua minggu ini bagi membendung penularan virus terutama di Lembah Klang yang mencatatkan kes tertinggi berikutan kepadatan dan pergerakan penduduk tinggi.

Dengan cara ini, kawasan mencatatkan kes tinggi dapat dikenal pasti, saringan dipertingkatkan dan kes kontak rapat dikesan, seterusnya jangkitan dalam komuniti dapat dikurangkan.

Kerajaan turut mempertingkatkan penguatkuasaan menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP).

Pelengkapnya adalah masyarakat disaran terus konsisten mematuhi SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai langkah mendepani peningkatan kes sporadik serta kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90