16 Julai 2021

,

Kaji 'kesilapan' PdPR elak terus bebankan guru, murid

masalah pdpr

 

Oleh Dr Anuar Ahmad 

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bertajuk The State of Education: One Year Into the COVID Pandemic diterbitkan April 2021, adalah kajian peringkat global berskala besar membabitkan 38 negara anggota.

Beberapa hasil kajian ini boleh diteliti dalam usaha kita melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang sejahtera di negara kita.

Pertama, laporan ini menunjukkan ada tiga kaedah PdPR berkesan dan menjadi pilihan kebanyakan negara OECD, iaitu secara dalam talian, edaran modul atau nota serta melalui siaran televisyen.

Terdapat juga beberapa kaedah PdPR lain seperti penggunaan telefon bimbit dan siaran radio, tetapi tahap keberkesanan lebih rendah dan kurang menjadi pilihan negara anggota OECD. Kaedah dalam talian paling berkesan dan menjadi pilihan utama kebanyakan negara.

Namun, untuk menggunakan kaedah ini, sesebuah negara mestilah mempunyai kemudahan internet berkualiti. Guru serta murid juga mestilah mempunyai kemudahan peranti. Tanpa dua kemudahan ini, kaedah PdPR dalam talian tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sebaliknya hanya sebagai kaedah sampingan.

Sebagai alternatif, OECD mencadangkan pilihan kedua, iaitu menggunakan PdPR seperti mengedarkan nota atau modul pembelajaran kepada murid. Kaedah ini sama ada secara luar talian atau edaran tangan boleh dilakukan bersama panduan manual atau modul pembelajaran. 

Murid boleh mengulang kaji dan kemudian menyiapkan latihan. Selepas selesai, murid boleh membuat serahan latihan kepada guru untuk tujuan semakan dan penilaian. Sebagai sokongan kepada kaedah edaran penggunaan telefon bimbit digalakkan murid bertanya soalan pada guru menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram.

Bagaimana pula Malaysia? Kajian Kementerian Pendidikan (KPM) bertajuk Kajian Kesediaan Murid Berkaitan Pembelajaran Secara Dalam Talian (2020) menunjukkan 36.9 peratus murid negara ini tidak mempunyai peranti langsung. Ini mewakili 1.85 juta murid seluruh negara. Maksudnya, keluarga mereka langsung tidak ada peranti. PdPR secara dalam talian tidak boleh mereka ikuti sepenuhnya.

Sementara itu, 90 peratus murid tidak mempunyai peranti milik peribadi. Mereka masih boleh melakukan PdPR dalam talian, tetapi perlu bergilir dengan adik-beradik lain. Selain kadar pemilikan peranti rendah, isu capaian internet rendah dan kelajuan lemah juga menyebabkan sebahagian besar anak-anak khususnya di luar bandar dan pedalaman tidak dapat menjalankan PdPR dalam talian sepenuhnya.

Kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan pasukan pengkaji Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga membuktikan majoriti ibu bapa dan guru tidak bersedia melaksanakan PdPR dalam talian.

Berdasarkan data kajian, fahamlah kita bahawa Malaysia belum sesuai menggunakan kaedah dalam talian sebagai kaedah utama PdPR. Bagaimanapun, KPM mengambil keputusan meneruskan juga. Hasilnya, ramai murid yang tiada peranti tidak ada pilihan lain, selain terpaksa menggunakan telefon bimbit bagi menggantikan komputer atau laptop. Penggunaan telefon bimbit sebagai kaedah PdPR berada pada kedudukan pilihan keempat dalam kalangan negara anggota OECD.

Mengapa perlu menyusahkan ibu bapa, guru dan pelajar sedangkan ada pilihan lain lebih sesuai dengan persekitaran kita?

Menteri Kanan Pendidikan sendiri mendedahkan kadar keciciran murid pada peringkat sekolah rendah meningkat daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.13 peratus pada 2020. Kadar keciciran murid sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus untuk tempoh sama.

Selepas hampir setahun setengah berlalu, berapakah kadar keciciran murid terkini?

Terdapat dua kesilapan utama PdPR sejak 2020. Pertama, keputusan memilih PdPR dalam talian sebagai medium utama. Sepatutnya, kita menggunakan edaran nota, modul dan buku kerja dengan dibantu penggunaan telefon bimbit untuk pelajar menghubungi guru atau sebaliknya.

Penggunaan PdPR dalam talian hanyalah sebagai kaedah sampingan yang boleh digunakan oleh mana-mana sekolah yang mempunyai keupayaan internet dan peranti.

Kesilapan kedua ialah PdPR sepatutnya menggunakan pendekatan berasaskan 'sistem pembelajaran' dan bukan 'sistem persekolahan'.

Pendekatan 'sistem pembelajaran' maksudnya tiada lagi konsep kehadiran kelas secara seragam seperti amalan di sekolah, tetapi PdPR tekankan aktiviti penyertaan mengikut keperluan dan kemampuan murid. Sistem ini juga boleh berubah daripada memenuhi keperluan murid secara 'seragam' kepada keperluan berasaskan individu atau kumpulan kecil.

Keanjalan pembelajaran juga diutamakan dan tidak lagi berasaskan jadual waktu yang rigid seperti di sekolah. Ia lebih mengutamakan usaha kolaborasi antara ibu bapa dan guru.

KPM boleh memberikan insentif untuk menggalakkan kolaborasi ibu bapa dan guru. Misalnya, di beberapa negara lain, diwujudkan papan pemuka, 'e-sekolah' untuk ibu bapa pantau pencapaian anak mereka.

Guru akan memasukkan markah, laporan murid dan sebagainya dalam e-sekolah. Ibu bapa boleh semak aktiviti anak mereka tanpa mengganggu guru selepas waktu pejabat.

Bila kita sudah memahami konsep dan prinsip 'sistem pembelajaran' barulah direka bentuk pelaksanaan PdPR. Misalnya, mengurangkan bilangan mata pelajaran kepada yang teras. Bagi mata pelajaran lain, KPM boleh sediakan bahan aktiviti pada ibu bapa untuk membantu anak mereka.

KPM juga boleh menggunakan Didik TV Pendidikan untuk pengajaran mata pelajaran bukan teras.

Untuk kecilkan kumpulan PdPR, sepanjang pelaksanaan ini rombak buat sementara tugasan guru. Guru mata pelajaran bukan teras boleh diminta membantu mengajar mata pelajaran teras khususnya pada peringkat sekolah rendah. Bagi melaksanakan PdPR secara berkesan, guru tidak perlu ikut senarai murid seperti senarai kelas di sekolah lagi.

Kumpulan murid boleh dikecilkan. Amalan sekarang ada kelas PdPR sehingga 40 pelajar. Jumlahnya sangat ramai. Bagaimana seorang guru dapat melaksanakan PdPR berkesan dengan jumlah murid seramai itu?

KPM juga sepatutnya melaksanakan pentaksiran PdPR untuk menggantikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Ketika PBD dibangunkan dahulu, rubrik pentaksiran berasaskan PdP secara bersemuka dalam bilik darjah.

Apabila dibina rubrik pentaksiran baharu selari amalan PdPR, mudahlah tugasan guru melaksanakan pentaksiran tidaklah mereka teragak-agak memberikan markah. Yang penting semua guru jelas rubrik yang perlu mereka taksir.

Ia juga membantu memudahkan ibu bapa untuk membantu murid, manakala murid sendiri memahami lebih jelas apakah yang mereka perlu lakukan untuk mendapat markah yang baik.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90