30 Julai 2021

, ,

Mumia Chinchorro peninggalan peradaban awal manusia

mumia chinchorro

 

Mumia tertua di dunia iaitu mumia Chinchorro di utara Chile menyertai senarai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Ilmiah dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), lapor akhbar Daily Mail.

Mumia Chinchorro yang dijumpai pada awal abad ke-20, berusia lebih 7,000 tahun dan lebih tua daripada mumia firaun di Mesir yang lebih terkenal serta berusia 2,000 tahun.

Semasa sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia yang diadakan secara online dari Fuzhou, China, UNESCO mengumumkan penambahan mumia Chinchorro ke dalam senarai berprestij itu.

“UNESCO mengesahkan status tersebut di peringkat antarabangsa selepas mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

“Nilai budaya mumia Chinchorro adalah luar biasa dan memiliki kepentingan global,” kata pakar antropologi Chile, Bernardo Arriaza.

Laman web rasmi UNESCO turut menambah tiga laman web yang dikaitkan dengan mumia Chinchorro iaitu Faldeo Norte del Morro de Arica di Colón 10, Arica, dan Desembocadura de Camarones.

“Mumia ini membuktikan arkeologi tertua yang diketahui mengenai penghasilan mumia,” tambah UNESCO.

Mumia Chinchorro yang diawetkan dan ditanam bersama barangan berharga, memiliki nilai estetika serta mencerminkan peranan besar orang yang sudah mati dalam masyarakat Chinchorro

Analisis kimia tulang dan timbunan cangkerang yang dibuang menunjukkan 90 peratus sumber makanan masyarakat Chinchorro adalah makanan laut.

Kaum Chinchorro adalah nelayan dan pemburu sejak lebih 7,000 tahun lalu di kawasan yang sekarang terletak di selatan Peru dan utara Chile.

Satu mumia yang ditemui mempunyai garis putus-putus seperti kumis di atas bibir atas­nya, dipercayai bukti tatu tertua di Hemisfera Barat.

Proses menghasilkan mumia termasuk membuang organ dalaman, usus dan tisu mayat sebelum kulit dirobek dan mencantumkan kembali mayat menggunakan tongkat dan rambut binatang.

Rambut hitam tebal dijahit di kulit kepala dan mayat kemudian dicat merah atau hitam menggunakan kotoran, pigmen, mangan dan besi oksida.

Setakat ini, lebih 300 mumia Chinchorro telah ditemui termasuk yang berwarna merah, hitam dan dibalut. 

Sumber : Agensi

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90