6 Julai 2021

,

Permohonan moratorium pinjaman dibuka 7 Julai 2021, lulus automatik

moratorium bank 6 bulan

 


Permohonan untuk mendapatkan kemudahan bayaran balik pinjaman atau moratorium untuk tempoh enam bulan akan dibuka bermula 7 Julai 2021.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, peminjam individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro yang terjejas akibat COVID-19 boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai esok.

Katanya, ia selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bank pusat itu berkata, individu, perusahaan mikro ataupun PKS tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

"Kelulusan akan diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

"Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

"Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium," katanya.

Bagaimanapun BNM menjelaskan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman seperti moratorium bakal menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Sehubungan itu, bank pusat berkata, institusi perbankan dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

"Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

"Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," kata kenyataan itu.

BNM menegaskan, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam juga tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Katanya, industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

"Dalam hal ini, BNM akan memantau rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

"Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka.

"Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM," katanya.

Bank pusat juga menasihati peminjam supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

"Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021.

"Pada masa permohonan dibuat , peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

"Peminjam yang sudah pun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program terbabit juga boleh memohon moratorium ini," katanya.

Selain itu, BNM berkata, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

"PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk.

"Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90