2 Julai 2021

,

Portal MyAssist MSME bantu PKS tangani isu perniagaan

myassist, msme

 

Penubuhan Portal MyAssist MSME akan dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan dalam keadaan norma baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia menyediakan platform kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara dalam talian.

Katanya, platform itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PKS tempatan terus diperkasa dalam mendepani cabaran semasa.

"Justeru, Portal MyAssist MSME ini ialah suatu platform digital yang dibangunkan pada waktu yang sangat tepat. 

"Dalam keadaan di mana kita harus mengurangkan pertemuan bersemuka atau secara fizikal, Portal MyAssist MSME adalah suatu solusi norma baharu bagi keperluan fasilitasi perniagaan di bawah suatu 'One Stop Centre'," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Portal MyAssist MSME dan perasmian Minggu PKS Kebangsaan 2021 secara maya hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan TImbalannya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin berkata, pandemik COVID-19 juga telah menyedarkan kita bahawa untuk maju, kita harus melepaskan diri dari keadaan normal dan mengembangkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi.

Beliau berkata, ia bukan lagi 'business as usual', tetapi inilah masanya untuk idea baharu dan untuk berinovasi.

"Dengan pembatasan pergerakan dan pertemuan manusia secara fizikal, ia menyebabkan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekaligus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat.

"Pendigitalan adalah elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan. Oleh itu, usahawan tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Usahawan perlu turut berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, agar mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan," katanya.

Tambahnya, kerajaan telah telah memperuntukkan sejumlah RM147.1 bilion khusus untuk membantu PKS dalam beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 akan dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan.

"Adalah dijangkakan prospek pertumbuhan PKS akan kembali pulih perlahan-lahan pada tahun 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya," katanya.

Portal MyAssist MSME boleh dilayari di : https://myassist-msme.gov.my/

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90