3 Julai 2021

, ,

PPN: 5 negeri beralih ke fasa kedua

Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

 

Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kelima-lima negeri berkenaan mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Katanya, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

"Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dibuat di peringkat negeri, tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan, ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.

"Dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang berubah ialah kadar purata kes COVID-19.

"Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.

"Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara," katanya pada sidang media.

Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras PPN menjelaskan kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes COVID-19, dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.

Jelasnya, perubahan positif itu turut dilihat berlaku di Kelantan yang melakar pengurangan purata kes COVID-19 bagi tempoh sama sebanyak 83 peratus, disusuli Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus), Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).

"Secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes purata COVID-19 untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

"Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan nilai ambang purata kes COVID-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi fasa keempat.

"Sekiranya diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, sembilan negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah cukup syarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.

"Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan serta Kuala Lumpur," katanya.

Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut peringkat negeri diharap berupaya menjadi insentif dan galakan ke arah membasmi penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan untuk negeri lain mengikuti jejak langkah sama, dengan melakar kemajuan dan memenuhi tiga nilai ambang seperti digariskan dalam PPN.

Kepada soalan sama ada negeri yang mencatatkan peningkatan kes purata COVID-19 dan penyusutan kapasiti katil ICU akan diturunkan kedudukan fasa, Tengku Zafrul menjelaskan perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Perkara ini akan dibentangkan dulu dalam Jawatankuasa Teknikal MKN sebelum diperhalusi di peringkat Sidang Khas MKN, sebelum pengumuman lanjut dibuat," katanya.

Beliau berkata empat negeri semakin hampir untuk mencapai nilai ambang peralihan ke fasa dua PPN iaitu Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah apabila sudah mencapai indikator purata kes harian COVID-19 apabila mencatatkan di bawah 4,000 kes purata untuk tujuh hari serta hampir mencatatkan paras sederhana di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga ke arah mencapai kadar vaksinasi 10 peratus.

Ketika ini, Johor mencatatkan purata 320 kes, Kedah (218), Pulau Pinang (165) dan Sabah (217).

Bagaimanapun, katanya hanya Kedah yang sudah melepasi kadar vaksinasi 10 peratus penduduknya iaitu 12.1 peratus, manakala Johor mencatatkan 9.5 peratus, Pulau Pinang (9.8 peratus) dan Sabah (7.8 peratus).

Bagi penggunaan ICU pula, hanya Sabah sudah mencapai paras sederhana, manakala Johor, Kedah dan Pulau Pinang masih berada pada tahap terhad penggunaannya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata bilangan kes harian bagi sesetengah negeri yang beralih ke fasa dua mungkin lebih tinggi berbanding negeri-negeri yang masih berada dalam fasa satu.

Katanya, ia perlu mengambil kira bilangan populasi di negeri berkenaan, purata kes tujuh hari dan keupayaan mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama.

Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana fasa pertama.

Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90