30 Julai 2021

,

Proklamasi darurat perlu dibentang, dibahaskan di Parlimen - Majlis Peguam

proklamasi darurat

 

Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata, Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya, AG Kalidas, berkata Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa 'Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu'.

Beliau berkata, peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh Kabinet, Ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

"Justeru, adalah mustahak untuk Kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekali pun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, sedangkan ia belum lagi diperkenan Baginda.

Katanya, Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini. 

Sumber : BERNAMA

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90