9 Julai 2021

, ,

UOB Malaysia tawar moratorium tanpa faedah terkompaun

moratorium uob bank

 

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) akan mengetepikan faedah terkompaun dan caj penalti yang ditanggung oleh pelanggan individu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh moratorium enam bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong, berkata UOB Malaysia sentiasa komited membantu pelanggan individu dan PMKS yang berdepan kesulitan kewangan dalam tempoh pandemik COVID-19 menerusi tawaran mengambil moratorium selama enam bulan secara opt-in bermula 7 Julai lalu.

Beliau berkata, bank juga akan memberikan kelulusan secara automatik secepat mungkin kepada individu dan perniagaan bagi meringankan beban aliran tunai yang dihadapi mereka ketika ini.

Sebagai tambahan kepada moratorium, UOB Malaysia juga, katanya menawarkan pilihan kepada individu dan PMKS mengurangkan ansuran pembayaran balik bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Katanya, pelanggan juga boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka pendek selama tiga tahun dengan pelan pembayaran ansuran lebih rendah.

"Bank sudah membuat pindaan kepada Program Bantuan COVID-19 kami sebagai sebahagian daripada usaha dan komitmen bersama daripada industri untuk terus membantu individu dan perniagaan yang terjejas oleh pandemik.

"Ketika negara masih dalam sekatan pergerakan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami menyedari bahawa ramai individu dan perniagaan akan menghadapi cabaran kewangan.

"Kami akan terus berurusan secara proaktif dengan pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kim Choong berkata, perniagaan lain yang terjejas situasi kewangan juga boleh menghubungi pengurus perhubungan masing-masing untuk maklumat lanjut.

Beliau berkata, UOB Malaysia menggalakkan pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi bank dengan secepat mungkin dan memberi jaminan akan menjawab semua permintaan tepat pada masanya.

Katanya, penerimaan bantuan pembayaran balik dalam tempoh ini juga tidak akan mempengaruhi laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pelanggan yang ingin memilih program bantuan UOB Malaysia boleh menghantar permintaan mereka bermula 7 Julai 2021 dengan hanya melengkapkan borang hubungan dalam talian di laman web UOB Malaysia atau menghubungi talian hotline khas Program Bantuan COVID-19 UOB yang beroperasi 24 jam di 03-2612 8019.

"Dokumentasi awal tidak diperlukan bagi memastikan permohonan yang mudah dan lancar.

"Bagi pelanggan yang memilih untuk mengunjungi cawangan UOB Malaysia, kami telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif seperti yang disarankan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan orang ramai," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90