13 Ogos 2021

,

Disleksia: Fahami dan kesan dari awal - Pakar

masalah disleksia

 

Usahkan ingin membaca suku kata, ada kalanya memandang huruf ‘b’ bagaikan ‘d’ dan ‘p’ umpama ‘q’.

Ciri-ciri demikian sering dihadapi mereka dengan masalah disleksia namun ia lebih mencabar apabila masalah itu tidak difahami oleh keluarga terdekat malah tidak dikesan oleh guru di sekolah.

Pakar kanak-kanak di sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu, Dr Salehuddin Sulaiman, berkata pengesanan atau diagnosis awal mampu membantu kanak-kanak itu mengatasi masalah yang dihadapi mereka.

Ibu bapa adalah mereka yang perlu memainkan peranan utama dalam mengesan kelewatan penguasaan pelajaran anak-anak manakala guru boleh melaporkan perkembangan mereka dari semasa ke semasa untuk dinilai sebelum dihantar ke kelas khas dengan kaedah pembelajaran sepatutnya.

“Apa yang paling ketara pada kanak-kanak disleksia adalah pembacaan dan sekiranya pelajar normal membaca secara automatik, mereka (disleksia) pula membaca secara perlahan kerana mereka mengeja di dalam minda.

“Ini kerana otak mereka menumpukan banyak tenaga untuk mengeja, maka aspek pembacaan yang lebih penting, iaitu kefahaman akan terjejas,” katanya.

Menurut Dr Salehuddin, mereka dilihat seolah-olah boleh membaca, tetapi sebenarnya tahap kefahaman mereka rendah dan apabila otak banyak menghabiskan tenaga untuk mengeja, mereka akan cepat penat dan bosan untuk membaca.

Jadi, mereka akan mula membuat benda lain, seperti mengganggu kawan, atau berbuat bising untuk menarik perhatian.

Dr Salehuddin berkata, disebabkan masalah membaca, pelajar disleksia juga selalunya dilabel sebagai murid bermasalah atau nakal oleh guru yang tidak faham masalah mereka sedangkan mereka sebenarnya boleh dibentuk dengan cara tersendiri.

Dalam menghuraikan secara ringkas keadaan kanak-kanak disleksia itu, beliau berkata bagi kanak-kanak normal, otak mereka mungkin mengambil masa setengah saat untuk menutur ‘baca’ tetapi kanak-kanak disleksia mungkin memerlukan dua saat untuk menghasilkan bunyi ‘ba’ dan dua saat lagi untuk ‘ca’.

Pada masa sama otak disleksia yang berjaya menghasilkan bunyi ‘ca’, mungkin sudah lupa bunyi ‘ba’ dan ini menyebabkan mereka tidak memahami apa yang dibaca.

“Mereka bagaikan perlu ‘berjuang’ untuk membaca dan biasanya dalam tulisan mereka, akan ada huruf yang tertinggal atau salah. Contohnya, ‘mengayuh’ jadi ‘megayuh’ dan ‘ cacat’ jadi ‘cacak’.

“Bagaimanapun, lama kelamaan, dengan adanya latihan khas dan tunjuk ajar, lebih mudah untuk mereka membaca dua suku kata,” katanya.

Ditanya bilakah masalah disleksia akan berakhir, Dr Salehuddin berkata, ia akan kekal sampai hujung hayat namun mereka boleh belajar cara dan strategi untuk mengatasi masalah disleksia mengikut tahap atau pembelajaran yang mereka hadapi.

Tambahnya, disleksia adalah masalah neurobiologi atau berkaitan fungsi saraf otak, bukan struktur otak.

“Masalah kanak-kanak disleksia ialah dalam fonetik (berkaitan pertuturan). Bahagian otak yang mengawal sistem fonetik, neuronnya tak berfungsi,” katanya.

Selain itu, mereka juga mengalami kesukaran dengan konsep dimensi, contohnya tentang dalam, atas, bawah, luar, kiri dan kanan.

Ada sesetengah penghidap disleksia, katanya, yang melihat huruf bergerak-gerak dan ada juga huruf yang seolah-olah ‘berlari’ di sekeliling kertas, menyebabkan kanak-kanak itu mengambil masa yang lama untuk membaca.

“Dan atas sebab itu juga, mereka lambat menyalin tulisan guru atau menyalin nota. Terdapat satu mitos bahawa pelajar disleksia adalah genius. Sebenarnya, tahap kecerdikan mereka adalah sama dengan populasi murid yang normal. Maknanya, kalau dalam populasi pelajar normal, ada 10 hingga 15 peratus yang genius, maka dalam populasi pelajar disleksia juga begitu. Ada yang genius, ada yang sederhana, dan ada yang kurang cerdik,” katanya.

Susulan itu, beliau menasihatkan ibu bapa yang mengesyaki anak-anak mempunyai ciri-ciri disleksia supaya segera membawa mereka berjumpa doktor terutama untuk diagnosis mereka supaya boleh diletakkan dalam program khas disleksia yang disediakan di beberapa sekolah. 

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90