16 Ogos 2021

Garis panduan baharu permohonan pertukaran guru sepanjang tahun

pertukaran guru sepanjang tahun

 

Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan garis panduan baharu bagi permohonan pertukaran guru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata garis panduan itu akan menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) 1975 iaitu berkenaan panduan bagi pertukaran guru.

"Dalam garis panduan baharu ini banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

"Banyak lagi penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam konteks pertukaran guru ini dan KPM akan memberi penjelasan lanjut berkaitan dengan garis panduan baharu ini dalam masa terdekat," katanya dalam video terbaharu menerusi Facebook beliau.

Mengakui isu itu berlarutan sekian lama, Radzi berkata KPM telah meneliti perkara utama serta penambahbaikan yang akan dibuat.

Radzi berkata beliau menerima banyak rayuan daripada guru supaya permohonan pertukaran bagi 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara 'one off' yang telah diumumkan KPM sebelum ini. 

"Sememangnya itulah hasrat KPM iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 guru baharu daripada pengambilan 'one off' ini kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk 2021," katanya.

Bagaimanapun, Radzi menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara utama yang diambil kira dalam mempertimbangkan sebarang permohonan pertukaran itu termasuk sekiranya terdapat kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

"Dua perkara ini adalah perkara asas yang diambil kira oleh kementerian dalam menimbang sebarang permohonan pertukaran kerana katakan ada kekosongan jawatan di negeri tersebut tetapi tidak ada kekosongan atau keperluan opsyen yang berkaitan, maka permohonan amat sukar untuk dipertimbangkan.

"Kita sedar cabaran yang dihadapi oleh guru dalam konteks memohon pertukaran ini dan pihak kementerian telah meneliti perkara berkaitan secara menyeluruh," katanya.

Radzi berkata KPM komited dalam menjaga kebajikan guru dan menyeru mereka terus memberikan yang terbaik dan berusaha bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan negara dalam melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat. 

Sumber : BERNAMA

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90