6 Ogos 2021

,

Kanser perut sebesar bola, Emma Akma perlu bantuan kos pembedahan

emma akma

 

Baharu disahkan menghidap kanser perut, dramatis Emma Akma buntu untuk mengumpulkan wang sebanyak RM50,000 bagi menampung kos pembedahan membuang ketulan sebesar saiz bola sepak yang semakin membesar dalam perutnya.

Menurut Emma, disahkan doktor menghidap kanser berkenaan sejak dua bulan lalu selepas mengalami kesakitan berterusan bermula awal tahun ini dan semakin serius  Ramadan lalu.

“Sebelum puasa lalu saya sakit kencing berdarah dan diberikan ubat. Pada pertengahan puasa saya pitam pula, namun disahkan pula alami slip disc. Sehari sebelum 1 Syawal saya pengsan lagi dan terus menjalani imbasan dan doktor mendapati ada ketulan dalam perut.

“Saya dinasihatkan ke klinik swasta untuk menjalani CT Scan untuk mendapatkan pengesahan tetapi ketika itu saya tiada wang, suami pula baharu diberhentikan kerja di sebuah hub kurier. Jadi seorang kawan membantu membawa saya menjalani imbasan itu.

“Saya ingat lagi pada 10 Syawal doktor di klinik berkenaan memaklumkan ada fibroid dan cyst tetapi kecil, paling membimbangkan adalah ketulan seperti kandungan lima bulan di tengah perut. Kes saya dirujuk pula ke Hospital Selayang.

“Pada 2 Ogos lalu saya terima keputusan ujian yang mengesahkan kanser saya kini sebesar saiz bola sepak dan perlu dibuang segera tetapi hospital kerajaan tidak dapat melakukannya sekarang. Swasta pula kos mencecah RM50,000,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dedah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, wang simpanan yang ada sudah digunakan untuk perbelanjaan harian dan melunaskan bil bulanan terutama selepas dia terpaksa berehat hampir empat tahun disebabkan sakit tulang belakang.

“Memang saya buntu memikirkan di mana dapat mencari wang sebanyak itu sehingga saya jadi murung tambahan pula terpaksa dibantu melakukan kerja rumah atau perlu menggunakan kerusi roda jika ke hospital atau klinik.

“Saya tidak salahkan hospital kerajaan kerana faham situasi pandemik Covid-19 tidak membolehkan pembedahan untuk kes lain disegerakan. Jadi saya dinasihatkan ke hospital swasta melihatkan sel kanser yang cepat merebak ini.

“Pihak hospital juga membantu mencari beberapa hospital lain yang sedia menyegerakan kes saya ini tetapi boleh dikatakan paling cepat untuk melakukan pembedahan sekitar dua bulan lagi.

“Saya sudah sampai tahap mahu berserah saja, namun melihat wajah anak serta suami, saya kembali kuat. Allah uji bermakna saya kena tabah dan jangan terus menyerah kalah. Demi keluarga saya minta bantuan untuk mencukupkan kos pembedahan,” katanya.

Tambah aktres berusia 52 tahun itu, dia bertuah walaupun tiada punca pendapatan, rezeki anak sulungnya yang bekerja sebagai penghantar makanan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka sekeluarga.

“Anak dan suami banyak menjaga saya. Selepas diberhentikan di hub kurier, suami saya banyak menjaga saya selain uruskan rumah. Dahulu suami kru pengambaran dan kemudian bekerja di hub kurier selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Anak sulung saya pula jadi ‘runner’ dengan sebahagian besar gaji diserahkan kepada saya. Jiran tetangga pun banyak membantu, begitu juga tuan rumah yang sangat memahami kalau kami terlambat membayar sewa.

“Dari segi makan kiranya ramai hamba Allah yang prihatin, cuma sekarang yang buatkan saya banyak berfikir adalah untuk mencari wang pembedahan. Doakan semoga urusan saya ini dipermudahkan,” kongsinya lagi.

Kali terakhir Emma yang menceburi arena lakonan sejak akhir 1990-an muncul di kaca televisyen adalah menerusi drama bersiri Gerak Khas The Finale terbitan Skop Production tahun lalu untuk watak tambahan.

Bagi yang ingin membantu boleh menyumbang di akaun Maybank Noorakma Yunus di 162209987311.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90