13 Ogos 2021

,

Muhyiddin kemuka cadangan persefahaman rentas parti

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri berkata, beliau sudah berunding dengan anggota Kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan peribadi serta rakan-rakan lain.

"Kami mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Ini akan membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan taya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

"Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat," katanya dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung.

Beliau juga membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

"Pertamanya ialah mengenai peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen. Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

"Atas semangat kerjasama bipartisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.

"Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki," katanya.

Cadangan kedua, katanya, bagi mendokong prinsip "Whole of Government" dan "Whole of Society" dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang diutarakan.

"Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

"Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

"Dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif," katanya.

Kerajaan juga, katanya, akan mengukuhkan sistem kesihatan terutama dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU), termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta selaras dengan pendekatan "Whole of Nation".

"Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua 2021. Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada 2022, bukan sahaja untuk B40 tetapi juga bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.

"Ketiga, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

"Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang. Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

"Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

"Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen," katanya.

Kelima, katanya, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa dan bagi tujuan itu, RUU Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen.

"Saya berharap, dengan adanya kerjasama bipartisan di Parlimen, RUU ini akan dapat diluluskan. Keenam, RUU termasuk RUU perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

"Suatu RUU hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Akhirnya yang Ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara Menteri Kanan.

Perdana Menteri juga membuat akujanji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan, untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi pada waktu pandemik dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Sementara itu, katanya, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif, dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang lebih efektif dan menyeluruh.

"Kestabilan politik amat penting dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dan Memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu perkara mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

"Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90