17 Ogos 2021

,

Tugas PM 'caretaker' lebih bersifat administratif

tugas perdana menteri caretaker

 

Kuasa Perdana Menteri 'caretaker' adalah sangat terbatas dan tertakluk kepada amalan konvensyen yang mana boleh memegang jawatan itu sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Peguam Adnan Seman, berkata tiada akta atau peruntukan jelas yang menggariskan kuasa dan hak Perdana Menteri caretaker dan ia tertakluk kepada kehendak Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Peguam Negara.

"Secara prinsipnya, amalan Perdana Menteri caretaker adalah tidak membuat sebarang keputusan berkenaan dasar besar bagi memastikan status quo dasar kerajaan kekal, tidak membuat lantikan utama kerajaan dan tidak menandatangani kontrak utama.

"Prinsip yang sama terpakai bagi kerajaan sementara (caretaker government) selepas pembubaran Parlimen, semasa pilihan raya umum dan sehingga pembentukan kerajaan baharu," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan menerima surat peletakan jawatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa 16 Ogos 2021.

Seri Paduka juga berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Sementara itu, peguam Hizri Hasshan berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri caretaker di bawah kuasa umum yang diperuntukkan di dalam Perkara 32(1) dan Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri caretaker tidak boleh menubuhkan Jemaah Menteri dan Yang di-Pertuan Agong tidak tertakluk untuk mengikuti nasihat beliau.

"Tugas-tugas Perdana Menteri caretaker lebih bersifat administratif," katanya.

Peguam Noorazmir Zakaria pula berkata, berdasarkan konvensyen kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu ketetapan yang mengikat kerajaan selepas Perdana Menteri baharu dilantik.

"Ia juga tidak boleh memasuki apa-apa perjanjian yang penting atau membuat aku janji yang memberi kesan besar kepada negara.

"Selain itu, tidak boleh menyalahguna kedudukannya untuk berkempen politik dan memberi aku janji. Contohnya, berjanji membina hospital atau sekolah sekiranya dipilih sebagai kerajaan di dalam pilihan raya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90