18 September 2021

, ,

Fasa endemik Covid-19 di Malaysia

Cabaran fasa endemik di Malaysia

 

 

Meskipun kerajaan meletakkan sasaran untuk negara beralih ke fasa endemik Covid-19 menjelang Oktober depan, ia mungkin sukar menjadi kenyataan sekiranya kes jangkitan kembali melonjak.

Kebimbangan ini disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu lalu, beberapa hari selepas Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan WP Putrajaya) beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut beliau, perkumpulan orang ramai serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dikhuatiri akan mencetuskan semula penularan teruk Covid-19 dan membantutkan usaha kerajaan untuk memulihkan negara.

Untuk rekod, Malaysia masih mencatat kes harian baharu empat angka dan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 16 September 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 18,815 lagi kes baharu Covid-19.

Ini menjadikan kumulatif kes yang melepasi angka dua juta pada 14 September lepas meningkat kepada 2,049,750 kes kelmarin. Kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan setakat 16 September pula sebanyak 227,120 kes.

Dengan kumulatif kes 2,049,750, Malaysia kini di tangga 21 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Peru (2,163,312 kes) dan Filipina (2,304,192 kes).

Rekod kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan (11 September hingga 16 September 2021) adalah seperti berikut: 11 September (19,550 kes); 12 September (19,198 kes), 13 September (16,073 kes), 14 September (15,669 kes), 15 September (19,495 kes) dan 16 September (18,815 kes).

Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh kelmarin adalah seramai 16,939, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 1,800,278 kes (87.8 peratus) daripada keseluruhan kes Covid-19.

Sebanyak 913 kes pesakit Covid-19 dirujuk kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 422 kes daripadanya memerlukan prosedur intubasi/bantuan pernafasan.

Kes kematian akibat Covid-19 dalam negara direkod KKM pada 16 September adalah 346 kes, menjadikan jumlah kematian sebanyak 22,355 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 18,815 kes harian baharu yang dilaporkan kelmarin, sebanyak 222 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 18,593 kes (98.8 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai Situasi dan Maklumat Terkini Mutasi Spike Protein Covid-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham pada 13 Sept lepas melaporkan bahawa kajian berterusan oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (Umbi) mengenal pasti sebanyak 23 kes varian baharu virus Sars-CoV-2 dan Institute for Medical Research (IMR) mengenalpasti sebanyak 38 kes yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 36 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus Sars-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,385 kes.

Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 1,365 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,141 kes varian Delta, 211 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha. Manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa, dan tiga (3) kes varian Eta.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang rangkuman mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti berikut: 11 September (0.99), 12 September (0.98 ), 13 September (0.98), 14 September (0.96), 15 September (0.97) dan 16 September (0.98).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 16 September adalah Sarawak 1.11.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga 16 September, Malaysia mempunyai sebanyak 1,406 kluster masih aktif. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 5,228 kluster di kesan di negara ini dan 3,822 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 169 kluster baharu. Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 87 kluster (51.5 peratus) dan kluster komuniti sebanyak 59 kluster (35.0 peratus).

Sumber : Metro

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90