27 September 2021

, , ,

Sittah Annur lafaz taubat terbuka

Perjalanan mimpi yang terakhir

 

Wanita yang mendakwa dirinya ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Masitah Ab Jalar atau Sittah Annur meminta individu atau pihak yang mempercayai penyataan mimpinya untuk kembali kepada Islam yang benar.

Dalam kenyataan lafaz taubatnya, wanita itu meminta mana-mana individu atau pihak yang berkenaan segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan pernyataannya.

"Saya meminta kepada semua supaya apa juga masalah berkaitan kepercayaan beragama dan mengamalkan agama Islam, rujuklah dan dapatkan nasihat dari guru yang betul atau berhubung terus dengan pihak berkuasa agama seperti JAKIM, Jabatan Mufti serta Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

"Pengisytiharan taubat ini dilakukan dengan penuh keinsafan serta keikhlasan dan tiada paksaan dari mana-mana pihak melainkan dengan kesedaran diri sendiri," katanya ketika melafazkan taubat secara terbuka di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Masitah juga menyedari perlakuannya adalah satu yang bertentangan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aliran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikuti atau melampaui aturan Islam sebagai agama yang sudah sempurna serta lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.

Katanya, dia sedar bahawa kenyataan mengenai mimpi dan berdasarkan mimpi sudah menyebabkan kegusaran awam, kekeliruan, kecemasan serta boleh menyebabkan kecenderungan kepada ganggu gugat keamanan serta ketenteraman awam.

"Oleh demikian, saya sangat menginsafi, menyesali dan berjanji kepada diri saya, bahawa saya tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan.

"Dengan ini saya bertaubat, kembali ke pangkal jalan, mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar.

"Saya insaf bahawa tiada jalan pintas ke syurga melainkan dengan keyakinan akidah Islam yang jazam (disimpul mati), melaksanakan amar maaruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran dengan cara yang baik serta bijaksana berlandaskan prinsip pelaksanaannya dan bertingkah laku mengikut akhlak Islam," katanya.

Terdahulu, pengisytiharan taubat Masitah itu disaksikan empat individu iaitu Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar, Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, Majlis Pengisytiharan Taubat itu diatur atas persetujuan wanita itu tanpa paksaan demi memberitahu kepada umum, khususnya kepada individu atau pihak yang percaya dan berpegang kepada pernyataan mimpinya untuk turut bersama-sama mengakui kekhilafan yang dilakukan, bertaubat serta kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang benar.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah suami serta anak-anak Masitah.

 Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90