3 Oktober 2021

, , ,

Astro dijangka mula tawar khidmat jalur lebar pada 2023

Jalur lebar broadband Astro

 

Astro Malaysia Holdings Bhd dijangka boleh mula menawarkan perkhidmatan jalur lebar baharu kepada pelanggannya menerusi kerjasamanya dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) seawal tahun kewangan 2023.

Menurut penganalisis HLIB Research, Tan Kai Shuen, kerjasama itu membolehkan Astro untuk menawarkan khidmat jalur lebar kepada pelanggan yang berada dalam liputan TM, iaitu membabitkan 5.0 juta kediaman dan perniagaan.

Katanya, pengumuman kerjasama Astro dengan TM baru-baru ini adalah amat positif kerana pertamanya, ia mencipta sumber pendapatan baharu kepada Astro dengan penawaran khidmat baharu tanpa perlu mengeluarkan pelaburan besar bagi membina infrastruktur.

"Ia juga dapat bersinergi dengan segmen TV berbayarnya di mana Astro dapat menggabungkan perkhidmatan jalur lebar baharu ini dengan pakej TV berbayarnya.

"Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pengalaman pelanggan kerana penggabungan akan menghasilkan cadangan nilai yang lebih menarik termasuk kemudahan (pembayaran di bawah satu bil), menghilangkan masalah siaran ketika hujan dari satelit, kandungan mengikut permintaan di TV dan juga penjimatan kos berbanding melanggan perkhidmatan TV dan jalur lebar secara berasingan," katanya dalam nota kajian baru-baru ini.

Saham Astro di Bursa Malaysia meningkat pada dagangan baru-baru ini susulan berita kerjasama antara anak syarikat milik penuh kumpulan, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd dan TM.

Menerusi kerjasama strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE akan menyediakan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), 'bandwidth', 'backhaul' dan akses Internet kepada Astro.

Infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.

Sementara itu AmBank Research dalam nota kajiannya, berkata kerjasama itu menawarkan Astro peluang untuk melancarkan perkhidmatan jalur lebar fiber sendiri dengan kompetitif berbanding unifi dan fiber rumah Maxis.

"Bagi TM, tawaran kandungan Astro, yang menawarkan rancangan tempatan dan pilihan penyedia 'over-the-top' seperti saluran Netflix, Disney+Hotstar serta Fox berupaya memacu permintaan data borong kumpulan selain menyokong peningkatan trajektori pendapatan segmen itu," katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dan TM dengan nilai wajar berdasarkan aliran tunai terdiskaun (DCF) tidak berubah masing-masing pada RM1.83 dan RM7.10.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90