1 Oktober 2021

,

Penjawat awam wajib ambil vaksin - JPA

 

abatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

"Sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

"Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993]," menurut kenyataan itu.

 

PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Kenyataan itu turut menjelaskan jumlah penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi adalah kecil dan berikutan itu JPA mewajibkan semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengambil vaksin bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Ini juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Pada 21 September lalu, JPA dalam kenyataannya berkata pihaknya akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Jabatan itu memaklumkan, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90