23 November 2021

, ,

Menara Merdeka 118 kebanggaan rakyat Malaysia

Menara Merdeka 118

 

Menara Merdeka 118 yang dijangka siap dibina Oktober 2022 akan menjadi menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata dengan rekaan sofistikated, Merdeka 118 dibangunkan berhampiran dengan stadium bersejarah di Malaysia, Stadium Merdeka yang memulakan proses pemuliharaan sejak 2006.

Katanya, selepas beroperasi sepenuhnya nanti, Menara Merdeka 118 dijangka akan menjadi tumpuan baharu serta dilengkapi dengan pelbagai komponen.

"Bangunan ini turut mempunyai pusat beli-belah, dek pemerhati (tertinggi di Asia Tenggara), muzium tekstil, taman dan pelbagai lagi yang dilihat dapat meningkatkan aktiviti di sekitarnya dan memperkasa komuniti sekeliling.

"Kita mahu pupuk dan kekalkan semangat pusat bandar lama Kuala Lumpur melalui pelbagai perancangan dan inisiatif yang kami sedang laksanakan sekarang," katanya dalam sesi Jumpa di 118, secara maya, sempena Minggu Saham Digital (MSD) 2021.

Dengan 644 meter, mercu tanda baharu milik PNB ini berada di tangga kedua sebagai bangunan tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Merdeka 118 merangkumi tiga juta kaki persegi ruang luas lantai, terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred-A dan ruang niaga (sejuta juta kaki persegi, ).

Ahmad Zulqarnain berkata, seiring dengan pembinaan menara Merdeka 118, PNB sudah melaksanakan kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan asalnya seperti 1957.

"Untuk Stadium Negara pula, satu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sudah dilakukan bagi mengenal pasti cara terbaik untuk menjadikannya aset komersial dan pada masa yang sama mengekalkan seni bina asal stadium," katanya.

Beliau berkata, PNB juga sedang bekerjasama dengan Think City, sebuah organisasi komuniti yang berpengalaman dalam pembangunan semula kawasan bandar.

"PNB teruja dengan inisiatif Think City dalam memperkasa komuniti dan menghidupkan semula kawasan bersejarah seperti Georgetown di Pulau Pinang, dan kami harap Merdeka 118 juga dapat berkembang maju dengan usaha serupa," katanya.

Menurutnya, beberapa ciri yang mengkagumkan dibangunkan di menara ini termasuklah dek pemerhatian The View at 118, yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara, serta Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara.

Dihubungkan secara terus dari menara adalah 118 Mall, pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka Merdeka Boulevard at 118 seluas 1.62 hektar di samping tiga menara kediaman eksklusif.

Presint Merdeka 118 juga akan menampilkan sebuah muzium tekstil yang mengetengahkan tekstil dunia Melayu, pusat jagaan kanak-kanak, serta Masjid Merdeka dengan kapasiti 3,000 orang.

Pembangunan Merdeka 118 terletak di kawasan bersejarah Kuala Lumpur dan berdiri teguh di samping dua warisan negara iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Terletak berhadapan Stadium Merdeka, lokasi yang mencatat sejarah terpenting dalam pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957, nama Merdeka dipilih bagi menara ikonik ini sebagai penghormatan sempena peranan signifikan lokasi itu.

Sumber : Harian Metro

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90