23 November 2021

, ,

TFC hanya mampu seri dengan JDT

Separuh Akhir Piala Malaysia

 

Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila hanya mampu seri 1-1 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan membawa pulang bekalan satu gol berharga untuk menjadi pasukan pilihan mara ke final menjelang pusingan timbal balik, Jumaat ini.

Dalam perlawanan di hadapan kira-kira 20,000 penonton itu, skuad Nafuzi Zain terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Jordan Mintah yang menanduk tepat umpanan Lee Tuck pada minit kelapan.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal digunakan TFC yang mula hilang punca sehingga menyaksikan sepakan Bergson Da Silva pada minit ke-11 hanya sipi terkena tiang, sebelum percubaan susulan Gonzalo Cabrera tersasar ke sebelah tepi gawang.

JDT terus mengasak hebat kubu tuan rumah selepas itu, namun penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin tetap unggul termasuk berjaya menepis rembatan padu Arif Aiman Hanapi pada minit ke-26.

Peluang terbaik pelawat menjelma pada minit ke-41, namun peluang satu lawan satu gagal disudahkan Bergson untuk mengekalkan kedudukan 1-0 ke bilik persalinan.

Lima minit bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui Bergson yang bijak menghukum kesilapan tuan rumah apabila mudah menewaskan Mohd Suhaimi.

TFC yang tenggelam dalam pertarungan pertama ini cuba melancarkan serangan balas untuk bangkit, namun tandukan Mintah pada minit ke-63 terlalu lemah untuk membolosi gawang bimbingan Benjamin Mora.

Kedudukan kekal 1-1 sehinggalah wisel penamat dibunyikan pengadil.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90