19 Disember 2021

Cuti kecemasan untuk kakitangan awam, swasta mangsa banjir

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

Perdana Menteri berkata, untuk kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau 'paid leave' dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.

"Berapa lama cuti itu, kakitangan boleh berbincang dengan ketua jabatan masing-masing. Ini termasuk kakitangan awam pada peringkat kerajaan negeri.

"Untuk kakitangan swasta, kita minta mereka berbincang dengan majikan ...saya tahu tiada peruntukan undang-undang berkaitan cuti banjir ini, namun ia boleh dilaksanakan atas sifat kemanusiaan," katanya pada sidang media selepas meninjau operasi menyelamat dan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.

Beliau melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia dan SK Teluk Gong, Klang yang menempatkan hampir 2,000 orang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyediakan pasukan perubatan di pusat pemindahan terutama pusat pemindahan besar seperti PPS SK Telok Gong.

"Tadi ada PPS yang saya lawati, tiada pasukan perubatan, tiada doktor dan jururawat. Jadi, pada mesyuarat hari ini, kita bersetuju menempatkan jururawat atau doktor di setiap PPS (yang besar).

"Kita juga akan membekalkan ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kerana kita tahu mereka berpindah dalam waktu tergesa-gesa, ramai tidak memakainya dan kita tidak boleh salahkan mereka, semua ini akan disediakan KKM.

"Paling penting, ada saringan COVID-19 melalui RTK Antigen dilakukan di setiap pusat pemindahan untuk memastikan semua mangsa yang berpindah selamat daripada jangkitan COVID-19," katanya.

Sumber ; Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90