18 Disember 2021

GPS menang PRN Sarawak 2021

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi membentuk kerajaan negeri.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata setakat jam 8.45 malam tadi, GPS berjaya memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

"Bagi keseluruhan sehingga jam 8.45 malam, GPS memenangi 45 dari 82 kerusi dan dengan ini berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi dipertandingkan," katanya ketika mengumumkan perkara itu.

Kemenangan lebih dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) disifatkan sebagai isyarat rakyat mengiktiraf parti tempatan yang terbukti mempunyai rekod cemerlang mentadbir Sarawak.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia juga bukti rakyat tempatan menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau 'parti luar' untuk mentadbir Sarawak.

Jelasnya, kemenangan ini juga adalah amanah rakyat yang harus dipikul penuh tanggung jawab kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang dipilih.

"Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS untuk terus menerajui dan mentadbir Sarawak, dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).

"Penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua jentera parti yang bertungkus lumus serta bekerja keras di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi GPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat jam 10 malam ini, GPS dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg disahkan menang 60 kerusi iaitu melebihi dua pertiga kerusi DUN.

Fadillah berkata, semua ADUN yang menang diharap dapat memberi komitmen terbaik demi rakyat dan negeri itu.

"Mandat ini juga amanah rakyat bukan saja untuk ADUN GPS yang dipilih, malah untuk Ahli Parlimen GPS. Kami di peringkat Persekutuan juga akan terus memberikan khidmat terbaik demi Sarawak dan Malaysia.

"Semoga gelombang kemenangan ini akan berterusan dan membawa kemenangan lebih besar kepada GPS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.