28 Disember 2021

,

Kerja rumah tingkatkan pencapaian murid?

 

Ditulis oleh Dr Mohd Nazri Abdul Rahman 

Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya 

Masih perlukah murid dibekalkan dengan kerja rumah? Adakah mereka perlu mengorbankan sebahagian besar kehidupan dengan beban kerja rumah? Wajarkah lagi pelajar menghabiskan masa menyalin nota, menyelesaikan masalah matematik, menulis esei atau menyiapkan laporan projek? Adakah benar kerja rumah adalah elemen utama yang tidak dapat dielakkan dalam 'pengalaman pendidikan?' Semua soalan itu timbul susulan persekitaran pembelajaran hari ini sudah banyak berubah.

Namun, perdebatan mengenai keperluan kerja rumah sudah berlangsung berdekad-dekad lamanya, tetapi hingga kini tiada persetujuan dicapai. Benarkah tanpa kerja rumah, kesejahteraan hidup pelajar lebih tenteram atau menyebabkan pencapaian akademik lebih merosot?

Aktiviti membuat kerja rumah adalah satu pendekatan dalam sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada 'pembelajaran berasaskan aktiviti murid'. Di Malaysia, bermula dengan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSR) kerja rumah dipraktikkan dengan penekanan terhadap aktiviti pengukuhan dan pengayaan. Menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), penguasaan pembelajaran murid tidak hanya terhad kepada aktiviti pengayaan dan pengukuhan sebaliknya diperkenalkan beberapa bentuk pentaksiran yang lebih memberi penekanan pengembangan potensi pelajar. Jadi, adakah kerja rumah masih membantu penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran?

Hari ini sesuai dengan perkembangan semasa, penguasaan terhadap subjek tidak terhad kepada kerja rumah sahaja. Sebaliknya, ia boleh berlaku di mana-mana tanpa batas masa dan waktu. Malah, kemampuan pelajar untuk fokus semasa di dalam kelas dapat diperkukuhkan lagi dengan mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber digital. 

Jadi, sesuaikah amalan kerja rumah?

Tidak dinafikan murid akan lebih menguasai pembelajaran jika tekun belajar sendiri berbanding di dalam bilik darjah. Kerja rumah antara aktiviti yang efektif dalam memperkembangkan potensi diri pelajar. Menerusi aktiviti itu, pelajar akan sedar masalah pembelajaran yang dihadapi. Selain itu, mereka mempunyai ruang dan peluang untuk menyesuaikan tempoh masa yang diperlukan untuk memahami sesuatu pelajaran mengikut kemajuan diri sendiri di luar waktu sekolah. Kerja rumah adalah aktiviti pengukuhan atau pengayaan bagi seseorang pelajar.

Maka, jika aktiviti kerja rumah dibuat secara berkesan, ia dapat dijadikan sebagai strategi pengajaran dan pembelajaran yang bernilai kepada pelajar. Ia bukan sahaja berpotensi untuk meningkatkan tahap penguasaan pelajar, tetapi juga dapat menghabiskan kurikulum dalam jangka masa yang ditetapkan. Kepentingan aktiviti pembelajaran melalui kerja rumah adalah memperbaiki prestasi dan mempraktik kemahiran.

Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pelaksanaan kerja rumah. Guru perlu mempunyai kebolehan merancang, melaksana dan menilai disamping memberi maklum balas dan menganalisis kerja rumah murid. Kerja rumah yang berkualiti dan sepadan dengan keperluan pembelajaran pelajar dapat meningkatkan penguasaan murid. Jadi ia tidak seharusnya dilambakkan kepada mereka tanpa pemeriksaan dan maklum balas oleh guru.

Mengapa tidak dioptimumkan masa pembelajaran dalam bilik darjah?

Rata-rata ibu bapa mempersoalkan pendekatan pelaksanaan kerja rumah yang dikatakan terlalu membebankan pelajar sehingga memberi kesan buruk terhadap motivasi serta kesejahteraan hidup anak mereka. Kerja rumah adalah aktiviti pengayaan dan pengukuhan yang dilaksanakan untuk memastikan pelajar dapat menguasai isi pelajaran disampaikan oleh guru. Justeru, perlukah pelajar dibebankan dengan kerja rumah sekiranya mereka dapat memberi penumpuan di dalam kelas dan menguasai mata pelajaran? Ini kerana matlamat kerja rumah adalah untuk memperkukuhkan penguasaan pembelajaran pelajar.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan guru diperlukan bagi mengelakkan timbunan kerja rumah kepada pelajar. Kecekapan guru dalam merancang serta melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas akan banyak membantu. Misalnya, dalam tempoh pengajaran, contohnya 40 minit sewajarnya guru dapat memperuntukkan masa sebanyak 15 ke 20 minit untuk menjalankan aktiviti pengayaan dan pengukuhan. Melaluinya guru dapat berbincang, menilai dan membimbing pelajar seterusnya meningkat penguasaan pembelajaran bagi sesuatu pelajaran. Maka kerja rumah tidak perlu berikan kerana ia sudah diselesaikan semasa di dalam kelas.

Namun hakikatnya, apa yang berlaku dalam bilik darjah hari ini, sesi pengajaran secara 'chalk & talk' mengambil masa sehingga mengehadkan tempoh untuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan dijalankan dalam kelas. Ini disebabkan guru perlu mengejar skop kurikulum yang terlalu banyak, masa pembelajaran terganggu oleh aktiviti bukan akademik, majlis sambutan, keraian, persaraan malah kadang kala persediaan untuk sesuatu majlis yang mengambil masa pembelajaran pelajar .

Semua ini menyebabkan guru terpaksa memberikan kerja rumah bagi menggantikan kelas, menyelesaikan skop kurikulum atau aktiviti kelas ganti. Kerja rumah yang diberikan dalam bentuk lembaran kerja, menyalin, menulis dan melukis tanpa perancangan, pemantauan dan maklum balas tidak memberi impak positif kepada pelajar sebaliknya memudaratkan kesejahteraan hidup pelajar.

Pengukuhan dan pengayaan pembelajaran

Pengurusan kerja rumah perlu mempertimbangkan beberapa aspek iaitu penentuan beban tugas kerja rumah, penepatan tujuan, pemberian maklum balas, aplikasi teknologi malah pembabitan ibu bapa. Kerja rumah yang relevan, bermakna dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran pelajar dapat melengkapi kurikulum yang dilaksanakan. Ia juga mampu menjadi alat pengajaran yang efektif.

Sebaliknya, jika guru sudah mengoptimumkan sesi pengajaran yang dilengkapi dengan aktiviti pengukuhan dan pengayaan; pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam sesi pembelajaran, maka adalah tidak wajar untuk membebani mereka dengan kerja rumah yang terlalu banyak atau semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu topik dalam kurikulum. Pembelajaran seharusnya lebih bermakna bila pelajar dapat menguasai subjek berkaitan di dalam kelas. Ini dapat memberi ruang untuk pelajar bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum mahupun beriadah.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90