Sumber Maklumat Terkini

27 Disember 2021

Pas perjalanan My50 bermula 1 Januari 2022

 

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas perjalanan My50 yang menawarkan perjalanan tanpa had kepada warganegara Malaysia bagi perkhidmatan pengangkutan kendaliannya, serendah RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari bermula 1 Januari ini.

Kemudahan itu termasuk bagi pengguna Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Transit Aliran Bas (BRT), bas henti-henti Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT di Lembah Klang serta perkhidmatan bas di Pulau Pinang melalui Rapid Penang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata My50 akan menggantikan pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun tahun lalu.

"Tempoh promosi untuk My30 berakhir 31 Disember ini dan diganti pas perjalanan RM50 sebulan. 

"Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos perlu ditanggung Prasarana.

"Ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting dan bukti kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras aspirasi 'Keluarga Malaysia'," katanya pada sidang media bagi mengumumkan pas perjalanan tanpa had My50 keluaran Prasarana di perkarangan Stesen LRT Gombak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Datin Norlia Noah.

Ka Siong berkata, pihaknya dan Prasarana yakin jumlah penumpang perkhidmatan itu akan meningkat pada tahun depan.

"Sebelum penularan COVID-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari pada 2019.

"Berdasarkan keupayaan dan kapasiti dimiliki, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya, jika permintaan meningkat sambil memastikan penumpang terus memastikan perjalanan selesa, lancar dan selamat," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membuat pembelian pas perjalanan My50, boleh terus mengunjungi pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, MRT, monorel, BRT laluan Sunway dan hab bas Rapid KL terpilih, antaranya di Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2, Shah Alam.

Di Pulau Pinang, pengguna boleh mengunjungi kiosk terpilih Rapid Penang termasuk di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Kompleks Dato' Kailan (Kepala Batas), Balik Pulau dan Bukit Mertajam. 

Sumber : Berita Harian

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.