27 Disember 2021

, ,

Permohonan tangguh bayaran balik pinjaman PTPTN dibuka mulai 28 Disember 2021

Tangguh bayaran ptptn

 

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan akibat banjir ketika ini, boleh mengemukakan permohonan untuk penangguhan bayaran balik pinjaman, mulai esok hingga 31 Mac 2022.

PTPTN dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan permohonan itu boleh dikemukakan melalui portal rasmi: www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalikBanjir, atau dengan hadir ke mana-mana cawangan PTPTN yang berhampiran.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan ketika permohonan berkenaan.

"Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan, bermula pada bulan sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN, dan dua bulan ke hadapan antara Disember 2021 hingga Mei 2022.

"Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui emel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

"Sehubungan itu, peminjam diingatkan agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan berkenaan dapat disampaikan kepada mereka," katanya.

PTPTN sekali gus merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman itu bagi mereka yang terkesan akibat banjir.

Katanya, PTPTN komited memastikan urusan terbabit dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam.

"Pelbagai usaha dilaksanakan PTPTN bagi membantu dan meringankan beban peminjam ketika berdepan bencana ini.

"Permohonan secara dalam talian bagi penangguhan bayaran balik pinjaman ini ialah antara keprihatinan PTPTN untuk memudahkan urusan peminjam.

"Permohonan dapat dibuat hanya di hujung jari dengan lebih mudah, cepat dan selamat di mana saja mereka berada.

"Selain itu, peminjam juga diberi pilihan jika ingin membuat permohonan melalui mana-mana kaunter Pejabat PTPTN yang berhampiran, mengikut keselesaan mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat amnya dan peminjam PTPTN khususnya, jelas membuktikan keprihatinan kepada golongan terjejas bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN: www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.

Selain itu, boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang); Live Chat di www.ptptn.gov.my; e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/; Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn; dan media sosial rasmi PTPTN.

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90