20 Disember 2021

Ramai tidak langgan polisi insurans bencana alam

 

Ramai yang tidak membuat caruman perlindungan bencana alam merangkumi antaranya banjir dan tanah runtuh untuk harta benda termasuk kediaman serta kenderaan bermotor, justeru kedudukan kewangan mereka bertambah sukar ketika dilanda insiden luar jangkaan seperti banjir.

Pengarah Eksekutif Stable Vision Corporation Sdn Bhd, Richard Low, berkata perlindungan bencana alam sememangnya sudah lama ditawarkan kepada pelanggan tetapi ramai yang tidak melanggan perlindungan itu disebabkan premium tambahan yang perlu dijelaskan.

"Ramai yang tidak ingin mencarum untuk perlindungan tambahan (bencana alam) ini. Saya menggalakkan semua mengambil polisi membabitkan perlindungan bencana alam kerana musibah ini sememangnya di luar kawalan manusia," katanya ketika dihubungi BH.

Mengulas lanjut, Low berkata, kadar standard bagi perlindungan ke atas bencana alam merangkumi tambahan sekitar 0.086 peratus untuk banjir dan 0.081 peratus bagi tanah runtuh dari jumlah perlindungan, di mana pelanggan boleh membuat penambahan perlindungan mengikut keperluan peribadi.

"Bagi kenderaan bermotor pula ia bergantung kepada syarikat insurans. Kebiasaannya tambahan sekitar 0.2 peratus hingga 0.25 peratus di atas jumlah perlindungan," katanya.

Mengulas mengenai krisis banjir ketika ini, beliau berkata, sebarang tuntutan ganti rugi adalah bergantung kepada polisi individu dan isi rumah sama ada menambah klausa banjir dan bencana alam ke atas perlindungan kenderaan dan harta benda atau tidak.

"Untuk maklumat lanjut, mangsa banjir boleh menghubungi ejen atau syarikat insurans," katanya.

Stable Vision adalah agensi insurans hibrid yang memiliki pasukan yang terbabit dalam takaful insurans konvensional.

Ditubuhkan sejak 1995, agensi berkenaan beribu pejabat di Klang, Selangor memiliki lebih 300 ejen di seluruh negara dan cawangan Seremban, Negeri Sembilan; Ampang, Damansara dan Puchong, Selangor; Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Firma Pengurusan Kewangan Wealth Vantage Advisory, Rafiq Hidayat Mohd Ramli, berkata mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda termasuk kenderaan boleh menuntut ganti rugi dari pihak insurans atau takaful.

Katanya, tuntutan ganti rugi itu bagaimanapun tertakluk sama ada mangsa banjir memiliki perlindungan bencana banjir dalam polisi insurans yang dilanggan mereka.

"Kita boleh menuntut ganti rugi sekiranya kita ada perlindungan yang sepatutnya dari pihak insurans ataupun takaful. Kita kena pastikan insurans ataupun takaful rumah dan isi rumah dan insurans kenderaan motor kita meliputi perlindungan untuk banjir," katanya.

Rafiq Hidayat berkata, sekiranya tiada perlindungan untuk banjir, pelanggan tak boleh menuntut apa-apa dari pihak insurans ataupun takaful.

"Jika kita ada perlindungan, kita boleh menuntut ganti rugi dengan berhubung dengan syarikat insurans ataupun takaful yang telah kita carum," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.