16 Januari 2022

Ambil dos penggalak sebagai kesiapsiagaan sambut Aidilfitri

 

Orang ramai disaran segera mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai perlindungan diri dan keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah tersebut sebagai satu daripada usaha bagi umat Islam menyambut Hari Raya pada Mei ini.

"Sila dapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk perlindungan diri dan keluarga.

"Ia sebagai satu usaha bersama kesiapsiagaan menyambut Hari Raya nanti, InsyaAllah," menerusi ciapannya di Twitter.

Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sejak 24 Februari tahun lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana membabitkan tiga jenis vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun tahun lalu pula memperuntukkan kelulusan sama kepada CanSino dan Johnson & Johnson (J&J), masing-masing jenis satu dos suntikan lengkap.

Vaksin J&J yang mendapat 'lampu hijau' pada 15 Jun lalu diperoleh kerajaan melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX dan berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara perbandingan, vaksin J&J atau Janssen yang diluluskan baru-baru ini adalah menerusi perolehan daripada pengilang di Belgium.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan setiap vaksin mempunyai kesan sampingan seperti kesakitan otot, demam atau sakit kepala.

Namun, keadaan tersebut bukanlah satu petanda yang buruk.

"Sedikit ketidakselesaan untuk hasil yang lebih baik, InsyaAllah," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 19 kes kematian akibat COVID-19 sehingga 7.48 pagi tadi dengan menjadikan jumlah keseluruhan kematian berpunca daripada pandemik itu meningkat kepada 31,781 orang.

Daripada jumlah itu, 31.6 peratus atau enam pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sumber dari Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.