Sumber Maklumat Terkini

1 Januari 2022

Heliza Helmi nikah Datuk Seri

 

Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi selamat mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dan jutawan bergelar Datuk Seri.

Berita mengenai perkahwinan tersebut didedahkan seorang pendakwah terkenal, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim dalam laman Instagramnya sebentar tadi bersama sekeping foto mempelai.

“Tahniah kedua adinda saya Mahadi dan Heliza Helmi kerana hari ini kalian telah disatukan dengan izin Allah.

“Syukur kepada Allah setelah sekian lama saya menyimpan rahsia kalian. Maaf tak dapat hadir hari ini kerana berada di luar kawasan. Esok kita jumpa ya,” tulis Mohd. Izhar pada ruangan kapsyen.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan netizen mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut dan tidak kurang juga yang seakan-akan tidak percaya.

“Betul ke ni. Tak sangka. Apapun alhamdulillah dah bertemu jodoh. Moga kekal bahagia hingga ke jannah.

“Alhamdulilah, tahniah Datuk Seri Mahadi dan Datin Seri Heliza. Moga kekal hingga ke syurga,” tulis netizen.

Sementara itu, Fizz dari BenSignatures Event Wedding Planner yang bertindak sebagai perunding perkahwinan Heliza turut mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, pasangan sama cantik sama padan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 11.11 pagi tadi yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

Dalam majlis tertutup tersebut, Heliza menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran daripada suaminya bernama Mahadi Badrul Zaman.

“Butiran selanjutnya juga belum berjaya diperolehi kerana mereka masih diraikan di atas pelamin. Heliza ada maklumkan butiran lain dan akan diberitahu kemudian,” katanya.

Tambah Fizz, usai nikah, pasangan itu diraikan bersama ahli keluarga dan kenalan terdekat di Lanai Asmara juga di Putrajaya dan malam esok pasangan itu akan diraikan di sebuah hotel terkemuka.

Dalam pada itu, pelakon yang juga rakan baik Heliza iaitu Yatt Hamzah turut berkongsi khabar gembira mengenai pernikahan sahabat baiknya itu menerusi satu hantaran video dalam Instagram.

“Satu lagi pembuka tirai 2022. Masya-Allah Ija (Heliza). Tahniah sahabatku sayang. Alhamdulillah kami tumpang bahagia,” tulisnya.

Usaha Kosmo Online! untuk mendapatkan pengesahan daripada mulut Heliza sendiri mengenai pernikahannya bagaimanapun masih belum berhasil. 

Sumber dari Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.