22 Januari 2022

Lebih 4 juta pengundi 18 tahun didaftar

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih empat juta belia berusia 18 tahun sudah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi pada 16 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, pendaftaran automatik sebagai pengundi itu dilaksanakan menerusi pindaan Perlembagaan pada tahun 2019.

"Pada 16 Januari lalu, pendaftaran automatik pengundi 18 tahun sudah dimuktamadkan. Lebih empat juta anak muda berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik.

"Kerajaan sentiasa menghargai peranan anak muda dan bermula tahun ini, anak muda yang berusia 18 tahun akan dapat mengundi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung MAYC.

Yang turut hadir, Pengerusi MAYC, Mohd Syahbuddin Hashim dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Perdana Menteri turut berharap pertubuhan belia seperti MAYC akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi ini.

"Proses ini amat penting bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah benar-benar layak serta mampu menerajui negara.

"Kesilapan memilih pemimpin akan memberikan kesan yang buruk kepada negara pada masa akan datang.

"Memilih pemimpin tidak boleh berasaskan emosi tetapi perlu melalui pertimbangan yang sedalam-dalamnya.

"Sejarah membuktikan bagaimana negara dunia menghadapi masalah sehingga hari ini disebabkan pemimpin dipilih melalui emosi dan sentimen negatif yang diwujudkan oleh pihak tertentu," katanya.

Ismail Sabri berkata, pertubuhan belia dan MAYC perlu sentiasa bersiap siaga menjadi benteng yang mencurahkan taat setia kepada kebenaran, memastikan tiang-tiang seri yang menegakkan negara ini dapat terus dipertahankan.

"Saya menyeru pertubuhan belia untuk bersama-sama kerajaan membawa perubahan lebih baik demi menyediakan pemimpin pelapis kepada negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pertubuhan belia tidak dijadikan sebagai pentas untuk berpolitik atau kepentingan peribadi.

"Pertubuhan belia perlu berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara.

"Gunakan platform itu untuk memberikan input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara," katanya yang turut meluluskan peruntukan RM400,000 kepada MAYC.

Sumber dari Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.