27 Januari 2022

Perubahan cuaca punca pengeluaran telur kurang

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenal pasti keadaan cuaca tidak menentu antara faktor kurangnya penghasilan dan pengeluaran telur ayam dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, faktor berkenaan bukan sahaja mempengaruhi pengeluaran sektor pertanian, malah haiwan ternakan dan perikanan.

Beliau berkata, kejadian banjir serta peningkatan harga bekalan makanan ayam yang diimport dari luar negara turut mempengaruhi kekurangan pengeluaran telur.

"Telur ikut trend... terutamanya bulan ini (Januari) hasilnya kurang tapi bulan depan (Februari) akan meningkat balik kerana perkara ini (pengeluaran telur ayam) bermusim.

"Kenaikan (harga) juga berdasarkan pesanan dan bekalan. Begitu juga banjir serta pekerja terjejas kerana COVID-19, sebab kalau tiada pekerja lagi sukar hendak keluarkan makanan, ayam, telur.

"Bekalan makanan (ayam), bahan mentah kita import, memang harga cukup meningkat," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor.

Diminta mengulas laporan sebuah akhbar berhubung isu terbabit, beliau juga tidak menafikan kewujudan kawalan harga barang terbabit dari pihak peruncit.

"Kita (kementerian) dapati, memang ada kebenaran berhubung kawalan harga (di pihak peruncit). Orang sentiasa berikan perhatian pada pengeluar. Kita mesti faham apa dia punya harga kos dan pengeluar.

"Tetapi peruncit, awak naikkan (harga). Jadi di situ kita akan sentiasa berikan perhatian dengan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana kita membekalkan dan kementerian itu memastikan harga (tidak tinggi)," katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar mendakwa bekalan telur ayam pelbagai gred di seluruh negara bukan sahaja semakin berkurangan, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok sehingga rak yang menempatkan telur ayam didapati kosong. 

Sumber dari Berita Harian.

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.