27 Januari 2022

Pian Cecupak meninggal dunia

 

Pelawak dan pengacara, Pian Cecupak, 52, menghembuskan nafas terakhir dipercayai serangan jantung di kediaman ibunya di Taman Datuk Senu, Sentul, di sini, jam 8 malam tadi.

Berita pemergian anggota kumpulan lawak jenaka, Cecupak yang popular era 1990-an itu disahkan adik perempuan, Hassenah Abdul Raman.

Hassenah berkata, Pian atau nama sebenarnya, Mohd Rafik Abdul Raman ditemui terbaring dalam bilik air oleh ibunya.

"Arwah mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat, selama ini.

"Saya diberitahu, mak tersedar arwah sudah terbaring dalam bilik air pada jam 8 malam. Arwah memang duduk dengan mak.

"Jenazah arwah sudah dibawa ke hospital. Kemungkinan besar, arwah meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya.

Katanya, arwah tidak melakukan rawatan khusus untuk masalah jantung sejak empat tahun lalu. Arwah hanya bergantung pada ubatan sahaja.

"Kesihatan arwah memang agak merosot sejak akhir ini. Arwah sering mengadu sakit dada," kata Hassenah.

Sebelum ini, Pian pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi akibat sesak nafas pada 17 Oktober 2018.

Doktor mengesahkannya mengalami serangan jantung dan diletakkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).

Susulan itu, arwah perlu membuat rawatan angiogram dengan kos perubatannya mencecah puluhan ribuan ringgit.

Terdahulu, bakat arwah Pian dicungkil menerusi program realiti popular, Sinaran Pasport Kegemilangan TV3 pada era 1990-an, sebelum menyertai kumpulan Cecupak.

Anak kedua daripada enam beradik itu pernah mendirikan rumah tangga dan berpisah dengan bekas isteri pada 2000.

Menerusi perkahwinan itu, arwah dikurniakan dua cahaya mata, Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin.

Sumber dari Berita Harian.

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.