6 Januari 2022

SPRM tarik balik video 'MC Boleh Menjadi Rasuah'

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan menarik balik video 'MC (Sijil Cuti Sakit) Boleh Menjadi Rasuah' yang menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sejak ia dimuat naik kelmarin.

SPRM melalui satu kenyataan hari ini, berkata bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan pihaknya mengambil keputusan untuk menarik balik video berkenaan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.

Menurutnya, video yang diterbitkan itu bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.

Katanya, dalam konteks video berkenaan, ia merujuk kepada isu pemberian MC palsu dan contoh itu berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan diterima daripada pihak majikan serta orang awam kepada suruhanjaya ini.

"SPRM tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan.

"Suruhanjaya amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID -19," katanya.

Kenyataan SPRM itu merujuk kepada video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang dimuat naik bertajuk 'MC Boleh Menjadi Rasuah' pada Selasa lalu.

Katanya, SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak MMA.

MMA dalam kenyataannya semalam menyelar tindakan SPRM berikutan video itu sambil menggesa agensi penguatkuasaan itu menjaga reputasi sendiri dan membuat permohonan maaf terbuka.

MMA turut mendesak SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan.

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.