22 Januari 2022

UOB ambil alih perbankan pengguna Citibank Malaysia

 

Anak syarikat United Overseas Bank Limited (UOB) menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup yang terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit (perniagaan pengguna) di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam (cadangan pengambilalihan).

Menurut UOB dalam satu kenyataan sebagai sebahagian daripada cadangan pengambilalihan ini, kakitangan Perniagaan Pengguna akan diserap oleh UOB.
 
Cadangan pengambilalihan ini juga dijangka akan memperkukuh dan memperdalam lagi francais UOB di ASEAN.
 
Perniagaan Pengguna Citigroup mempunyai nilai aset bersih agregat berjumlah kira-kira S$4.0 bilion dan asas pelanggan lebih kurang 2.4 juta pada 30 Jun 2021, dan menjana pendapatan berjumlah kira-kira S$0.5 bilion pada separuh pertama 2021.
Tanpa memasukkan kos urus niaga sekali sahaja, cadangan pengambilalihan ini dijangka akan menunjukkan pertambahan serta-merta kepada pendapatan sesaham (EPS) dan pulangan atas ekuiti (ROE) UOB.
 
Jumlah pertimbangan tunai untuk cadangan pengambilalihan ini akan dikira berdasarkan premium agregat yang bersamaan dengan S$915 juta ditambah nilai aset bersih Perniagaan Pengguna apabila selesai.
 
Cadangan pengambilalihan ini dijangka akan dibiayai melalui lebihan modal dan dianggar akan mengurangkan nisbah Ekuiti Lazim Tahap 1 (CET1) UOB sebanyak 0.7% kepada 12.8%, berdasarkan kedudukan modalnya pada 30 September 2021.
 
Kesan kepada nisbah CET1 dijangka tidak ketara dan adalah dalam keperluan kawal selia.
Penyelesaian pengambilalihan di setiap negara adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia berkenaan yang diperoleh dari setiap negara dan di Singapura.
 
Pengambilahan ini dijangka selesai antara pertengahan 2022 dan awal 2024, bergantung pada kemajuan dan keputusan proses kelulusan kawal selia.
 
Citigroup akan membantu UOB dan anak syarikatnya (secara kolektif Kumpulan UOB) dengan penghijrahan pelanggan dan kakitangan Perniagaan Penggunanya bagi memastikan peralihan dijalankan dengan lancar.
 
“Pengambilalihan perniagaan runcit Citigroup dalam pasaran utama kami di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam merupakan peluang hebat yang tepat pada masanya.
 
"UOB percaya akan potensi jangka panjang Asia Tenggara dan kami telah mengambil langkah berdisiplin, selektif dan sabar dalam mencari peluang yang sesuai untuk berkembang.
 
Tertakluk kepada kelulusan kawal selia, kami berharap untuk menyepadukan portfolio Citigroup yang berkualiti dan juga mengalu-alukan pasukannya, selain mewujudkan nilai untuk asas pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain kami yang semakin bertambah.
 
"Perniagaan yang diambil alih, bersama dengan francais pengguna serantau UOB, akan menghasilkan gabungan amat mantap yang akan meningkatkan perniagaan Kumpulan UOB di samping memajukan kedudukan kami sebagai bank serantau yang terkemuka,” kata Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Wee Ee Cheong.
 
Sumber dari Astro Awani
 
 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.