28 Januari 2022

Vaksinasi kanak-kanak mulai 3 Februari 2022

 

Pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) akan dilaksanakan bermula pada 3 Februari 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak layak menerima vaksin jenis Comirnaty10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari ini melalui PICKids.

"Penghantaran pertama akan tiba pada 28 Januari 2022 dari Belgium dan vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sebagai permulaan pemberian vaksin akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan.

"Pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan pula di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi seterusnya diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

"KKM juga bekerjasama dengan agensi pemegang taruh lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 484,639 kanak-kanak sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksinasi.

"Melalui MySejahtera, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta waktu vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

"Saya ingin mengumumkan Sistem Tempahan Janji Temu melalui aplikasi MySejahtera dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.