5 Februari 2022

100 pelanggan bank desak akaun mereka dikembalikan

 

Kira-kira 100 pemegang akaun yang berdaftar dengan sebuah bank tempatan, semalam tampil mendesak supaya akaun mereka yang dibekukan bank berkenaan sejak seminggu lalu dikembalikan.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Aimullah Mohd Zain, 26, menyifatkan pembekuan ke atas akaun itu tidak wajar dilakukan dan menjejaskan banyak urusan kewangan harian mereka.

Beliau berkata, tindakan bank berkenaan terus membekukan akaun tanpa sebarang notis dan penjelasan munasabah juga tidak bertanggungjawab, apatah lagi mereka sendiri mengakui ia dibuat ekoran kesilapan bank itu sendiri.

"Contohnya macam kes saya, pada 25 Januari lalu, berlaku pembekuan akaun dan saya tidak dapat keluarkan walaupun RM10. Saya menghubungi pihak bank dan mereka memaklumkan ia kesalahan mereka disebabkan sistem 'duplicate' dan sebagainya. 

"Sebenarnya bank tidak boleh membekukan akaun saya tanpa notis dan lebih sedih, bank mengatakan kami yang berhutang dengan mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama yang lain menghantar memorandum kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi meminta badan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap bank terbabit, memandangkan masalah ini menjejaskan ribuan pengguna. 

Kelmarin, media melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kesilapan dilakukan bank tempatan baru-baru ini, yang menyebabkan ratusan akaun dibekukan dan pemegangnya berhutang disebabkan oleh 'jumlah berlebihan' dikreditkan pihak bank ke dalam akaun pelanggan.

Dalam maklum balas melalui e-mel kepada portal media, bank pusat itu berkata, CIMB Bank Bhd (CIMB) kini cuba mendapatkan semula jumlah lebihan dikreditkan kepada pelanggan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Aimullah berkata, sejak minggu lalu juga, beliau dan rakannya sudah mengumpul lebih 3,000 aduan yang diterima terus daripada mangsa.

"Jumlah mangsa sebenarnya mungkin lebih tinggi dan setakat pengetahuan kami, ada lebih 11,000 pengguna. Ada yang kerugian ratusan ribu, malah jutaan ringgit. Bagi aduan yang saya terima, nilai tertinggi kerugian adalah RM7 juta.

"Sebab itu hari ini, kita buat sidang media supaya pengguna akaun lain yang masih dibekukan, tampil mendesak supaya akaun mereka dikembalikan semula.

"Sejak seminggu lalu, kita kumpulkan aduan menerusi 'google form' dan media sosial, saya terkejut kerana jumlah mangsa sangat ramai," katanya.

Seorang lagi pemegang akaun bank berkenaan, Muhammad Fais Abd Razak, 33, memaklumkan baki lebih RM142,000 dalam akauannya dibekukan sejak seminggu lalu.

"Hari ini bank berkenaan hubungi kami memaklumkan masalah kesilapan yang berlaku di pihak mereka. Tindakan ini tak patut dibuat secara tiba-tiba tanpa sebarang notis kepada kami.

"Saya hanya dapat SMS daripada pihak bank memaklumkan ada masalah kepada akaun saya. Kemudian saya cuba melakukan transaksi pengeluaran, tetapi gagal," katanya.

Pengguna, Hisham Abdul Hadi, 43, pula berkata, akaun syarikatnya kerugian lebih RM150,000 selepas dibekukan bank berkenaan.

"Jika dikumpulkan keseluruhan akaun yang dibekukan ini, nilainya mungkin melebihi RM220 juta. Saya minta supaya bank berkenaan menarik balik pembekuan ini," katanya.

Sementara itu, perbualan BH dengan beberapa mangsa lagi yang ditemui tidak menolak kemungkinan pembekuan oleh bank berkenaan, mungkin berkaitan skim pelaburan yang mereka sertai termasuk Kripto, Bitcoin serta Forex.

Sebuah laman Telegram juga diwujudkan kumpulan berkenaan iaitu 'CIMB - Problem Discuss' bagi mengumpulkan aduan daripada individu yang terjejas dengan pembekuan akaun ini. 

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.