26 Februari 2022

6 parti buat penampilan sulung dalam PRN Johor

 

Sebanyak enam parti akan membuat penampilan pertama dalam pilihan raya negeri Johor. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti kedua yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh lima tahun, akan meletakkan 42 calon.

Kebanyakan calon parti itu diletakkan di kawasan majoriti Melayu dan terlibat dalam persaingan empat penjuru. Parti serpihan Bersatu itu memiliki empat ahli parlimen dan lima Adun dari negeri lain.

Penampilan dengan jumlah calon kedua terbesar ialah Muda yang meletakkan tujuh calon. Warisan yang berpangkalan di Sabah pula membariskan enam calon.

Kedua-dua parti, Muda dan Warisan bertanding di kawasan dengan latar belakang dan demografi yang pelbagai. Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan tahun lalu pula membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan empat calon.

PBM diketuai Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan dikuatkan oleh beberapa pemimpin yang dahulunya dikaitkan dengan Azmin Ali ketika dalam PKR.

Parti ini bertanding di tiga kerusi luar bandar dan satu kerusi bandar. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang diketuai oleh Ibrahim Ali, akan meletakkan seorang calon.

Putra membuat penampilan sulung dalam PRN Melaka pada November tahun lepas, di mana semua calonnya hilang deposit.

PSM akan meletakkan seorang calon di Johor. Walaupun telah menyertai pilihan raya sejak 1999, ini adalah kali pertama PSM meletakkan bertanding di Johor.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 16 calon bebas yang bertanding. Tiga gabungan utama dalam PRN ini ialah BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH. PH juga bekerjasama dengan Muda kecuali di kerusi DUN Larkin.

Tidak ada pertembungan satu lawan satu atau kemenangan mudah dalam pilihan raya ini. Lebih separuh (35 daripada 56 kerusi) akan menyaksikan pertembungan empat penjuru dan dua daripadanya melibatkan pertarungan tujuh penjuru.

Calon paling tua merupakan Tosrin Jarvanthi, 71 daripada PN-Bersatu. Beliau akan mempertahankan kerusinya di Bukit Permai.

Dua calon termuda ialah Kelly Chye dari BN-MCA dan Muhammad Airel Zabridin dari Pejuang, yang masing-masing bertanding di Mengkibol dan Tangkak. Kedua-duanya berumur 26 tahun.

Sumber dari Malaysiakini

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.