10 Februari 2022

Dr Mahathir hampir putus asa

 

Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan hampir berputus asa ketika bertarung nyawa, akibat masalah jantung hingga dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hampir dua minggu, bulan lalu.

Bekas Perdana Menteri itu mengakui ada ketika, beliau sudah putus harapan untuk sembuh ketika ditempatkan dalam Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN akibat penyakit berkenaan, yang disifatkannya sebagai amat teruk.

Bagaimanapun, katanya, takdir menentukan beliau kembali pulih, berkat doa ribuan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengharapkan negarawan itu sembuh, selain usaha pakar perubatan di IJN untuk menyelamatkan nyawanya.

"Saya ucap terima kasih. Ramai yang berdoa untuk saya pulih. Dan, hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi sayalah, amat teruk.

Video itu turut menyelitkan rakaman menunjukkan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersiar-siar di sekitar Tasik Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir dilihat ceria dan bertenaga ketika berjalan di sekitar tasik itu. Ada ketika beliau dilihat duduk di kerusi sambil seorang anggota kesihatan memeriksa kadar oksigen dan degupan jantung beliau.

Mengulas keadaan kesihatannya ketika ini, Dr Mahathir mengakui sudah hampir kembali kepada keadaan biasa dan boleh melakukan kegiatan harian.

"Waktu ini, saya boleh berjalan. Saya boleh makan. Saya boleh tidur. Saya boleh duduk.

"Saya hampir macam biasa. Tapi tidaklah begitu kuat nak bekerja dan sebagainya. Tapi, saya harap saya akan pulih," katanya, sambil sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

Pada 5 Februari lalu, IJN memaklumkan bekas Perdana Menteri itu dibenarkan keluar dari IJN dan menjalani pemulihan di rumah.

Beliau dimasukkan ke IJN pada 21 Januari lalu, susulan prosedur elektif yang dilaksanakan dua minggu sebelum itu.

Itu kali ketiga Dr Mahahtir dimasukkan ke IJN dalam tempoh lebih sebulan, selepas kali terakhir masuk ke IJN pada 17 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.