28 Februari 2022

Fenomena salji jarang dilihat, tapi boleh berlaku di Gunung Kinabalu - MetMalaysia

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, memaklumkan situasi atau fenomena salji bukanlah perkara mustahil boleh berlaku di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celsius, selain terdapat kelembapan yang mencukupi.

"Kebiasaannya kita boleh melihat proses pembekuan dan hal ini adalah menghasilkan ketulan ais di permukaan biasanya di batu-batu yang sejuk.

"Tetapi ada kalanya ketika dalam keadaan tertentu, salji boleh terbentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi, selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan.

"Fenomena ini jarang kita lihat tapi ia boleh berlaku," katanya menerusi kenyataan video berkaitan fenomena salji di Gunung Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, pendaki dan malim Gunung Kinabalu terkejut selepas merasai pengalaman luar biasa melihat ketulan putih dipercayai salji jatuh dari langit ketika berada di kawasan Sayat-Sayat, dekat puncak Gunung Kinabalu.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, cuaca difahamkan sangat sejuk dan secara tiba-tiba kelihatan ketulan putih menyamai salji dilaporkan jatuh dari langit berhampiran puncak gunung berkenaan selama kira-kira dua minit.

Sumber dari Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.